
SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab penerima Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang Sarawak 2025
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Matang, Kuching, Sarawak terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan Islam unggul apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang Peringkat Negeri Sarawak.
Anugerah berprestij itu disampaikan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1447H/2025 bertemakan 'Ummah Maju Makmur' di Dewan Suarah Bintulu pada Jumaat.
Menerusi kemenangan tersebut, SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab menerima wang tunai sebanyak RM5,000, sijil ditandatangani Tuan Yang Terutama (TYT) dan hadiah buku bernilai RM3,000.
Dalam satu hantaran rasmi menerusi Facebook sekolah, mereka memaklumkan bahawa anugerah diberikan sebagai penghargaan kepada sekolah-sekolah yang mencapai kecemerlangan menyeluruh dalam bidang akademik, kepimpinan, sahsiah, kokurikulum dan pengurusan berintegriti yang berpaksikan nilai-nilai Islam.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab sebagai model institusi pendidikan agama yang bukan sahaja mementingkan kecemerlangan akademik, bahkan turut menitikberatkan aspek pembentukan sahsiah pelajar yang seimbang dari sudut rohani dan intelektual.
Pengetuanya, Fatimah Wan Adini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga sekolah yang telah berganding bahu menjadikan kejayaan ini satu kenyataan.

"Anugerah ini adalah untuk seluruh warga sekolah yang terdiri daripada guru-guru, anak-anak pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), petugas kebersihan, pengawal keselamatan, pihak kantin dan dewan makan.
"Tidak dilupakan para alumni yang sentiasa menyokong dan mengharumkan nama sekolah. Terima kasih semua kerana telah menyumbang untuk kejayaan ini," kata beliau.