Pengorbanan terbalas, empat murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu raih hadiah utama
Pengorbanan terbalas, empat murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu raih hadiah utama

Pengorbanan terbalas, empat murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu raih hadiah utama

webadmin
31 Dec 2020 02:58am
A
A
A

Empat murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Muar  yang sering pulang lewat setiap hari berbaloi, apabila berjaya mendapat tempat dalam Pertandingan Global Arabic Games Peringkat Kebangsaan 2020 pada 30 September lalu.

Murid tersebut, Insyirah Mohd Khairul Zaman, 12, Ainul Insyirah Mohd Zainul Akmal, 12, Muhammad Wafiey Hazmin, 10, dan Muhammad Abdullah, 10, berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan juga sijil.

Mereka dibimbing oleh tiga guru hebat, Cikgu Siti NorHana Md Masrom, Ustazah Mariah Hussien dan juga Cikgu Nurul Huda Farhanah Sahar.

Menurut Cikgu Siti Norhana Md Masrom, pertandingan tersebut berbentuk permainan papan berkonsepkan ilmiah dan islamik yang dibangunkan khas untuk memberikan kefahaman dan kesedaran serta meningkatkan kemahiran pemain berkaitan ilmu-ilmu Bahasa Arab dengan mengikuti standard sukatan subjek Bahasa Arab.

Katanya, setiap petak giliran mempunyai kad soalan dalam Bahasa Arab yang perlu dijawab. Peserta perlu membaling dadu untuk mendapatkan giliran bermain dan menjawab soalan-soalan yang diberikan.

“Terdapat tiga aras soalan iaitu tahap rendah, menengah dan tinggi. Markah bagi setiap kad soalan juga berbeza.

“Peserta yang berjaya menjawab soalan akan memperoleh markah (mata) yang tertera pada kad soalan. Markah terkumpul paling tinggi akan dikira sebagai pemenang,”katanya.

Pertandingan anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu diadakan secara dalam talian dan disertai oleh 50 buah sekolah yang terdiri dari sekolah menengah dan rendah.

Ia juga dicetuskan oleh pengasas GIG (global Islamic games) dan juga timbalan pengarah INFAD, international Fatwa and Halal centre (Iffah) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),  Prof Madya Dr.Azman bin Ab Rahman.

“Penganjur juga meminta rakaman video dan gambar sepanjang pertandingan untuk memastikan tiada unsur-unsur penipuan.

“Kami menggunakan tiga kamera untuk merakam video daripada setiap sudut, depan belakang dan sisi sepanjang pertandingan yang diadakan secara ‘live’ itu.

Tambah Siti Norhana, selesai permainan guru diberikan masa 15 minit untuk mengira jumlah markah yang berjaya diperoleh, selain perlu menghantar rakaman video dan gambar kepada pihak penganjur.

Sementara itu, Ustazah Mariah Hussien yang juga guru Bahasa Arab pula berkata, mereka mengambil masa tiga bulan untuk membuat persiapan sebelum pertandingan.

“Sesuai dengan minat mereka terhadap subjek Bahasa Arab, kami memberi peluang kepada mereka untuk tonjolkan diri dalam pertandingan ini.

“Awalnya mereka kurang yakin, memandangkan soalan yang diberikan agak mencabar, namun berkat tunjuk ajar guru serta dorongan daripada ibu-bapa, empat murid ini mampu menjawab semua soalan yang diberikan,”katanya.

Jelasnya lagi, langkah pertama yang diambil, semua peserta perlu menjalani latihan dan memahami soalan yang diberikan lebih awal.

Salinan kad soalan akan diberikan kepada peserta, dan mereka harus fokus soalan aras rendah selama seminggu terlebih dahulu.

“Selepas mereka dapat menguasai soalan aras rendah, barulah kami beralih kepada soalan aras menengah dan tinggi. Kami mengambil masa sebulan setengah untuk benar-benar faham dan mahir serta mesra dengan soalan yang diberikan.

“Pada bulan terakhir persiapan, murid akan kerap melakukan latihan. Selalunya mereka akan berlatih, pada sebelah petang, selepas waktu persekolahan dan juga hujung minggu,”katanya.

Mariah berkata, biarpun ini kali pertama SRAB menyertai  pertandingan seumpama itu, namun berkat usaha yang ditunjukkan oleh empat murid tersebut, mereka berjaya melakar kejayaan yang tak disangka.

“Saya sebagai guru pembimbing berasa amat bersyukur dan gembira di atas kejayaan ini. Ini adalah usaha peserta yang bersungguh-sungguh dan tidak jemu untuk mengasah kemahiran dalam pertandingan ini,”katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok