Pelajar menyahut cabaran dengan menyertai salah satu aktiviti yang diadakan di reruai WK sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Pelajar menyahut cabaran dengan menyertai salah satu aktiviti yang diadakan di reruai WK sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Pengunjung berpeluang pelajari proses rawatan air sisa kumbahan

09 Sep 2023 09:53am

Pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari berpeluang untuk mempelajari proses rawatan air sisa kumbahan dengan mengunjungi reruai Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Eksekutif Komunikasi Korporat IWK, Aqiel Azmi Khair berkata, pihaknya akan memberi penerangan dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan IWK disamping terdapat video proses rawatan air sisa daripada air kotor menjadi bersih rawatan kumbahan dan pameran model loji rawatan kumbahan.

Katanya, dengan adanya video dan model berkenaan orang ramai dapat melihat dengan lebih jelas sekali gus memahami proses yang dilakukan oleh IWK untuk mendapatkan air bersih.

"Selain itu, IWK juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan hadiah istimewa kepada orang ramai yang mengunjungi reruai kami. Antara aktiviti menanti pengunjung adalah pameran bi-produk IWK, permainan interaktif, pameran cctv dan crawler paip pembentungan.

"Ia akan menjadi hari yang istimewa untuk orang ramai terutamanya para pelajar mengenali IWK dengan lebih dekat, itu adalah objektif sebenar kami. Kalau dahulu mereka tidak tahu mengenai IWK diharapkan dengan adanya program sebegini dapat menambah ilmu pengetahuan pengunjung," ujarnya pada Jumaat.

IWK merupakan salah satu daripada 100 pempamer menyertai Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Karnival itu berlangsung selama tiga hari bermula 8 September hingga 10 September 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Tambah Aqiel Azmi, pihaknya juga menawarkan bekas makanan dan botol air bagi 50 pengunjung terawal setiap hari yang berjaya menjawab soalan disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan baja yang diperbuat daripada sisa kumbahan untuk digunakan pada tumbuhan yang tidak boleh makan seperti pokok bunga. Ia diberikan secara percuma.

"Jadi saya harap orang ramai tidak akan melepaskan peluang ini dengan mengunjungi reruai kami," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp