Untitled (31)
Untitled (31)

Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain 2021 pada 15 hingga 30 November 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Oct 2021 09:02pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain 2021 bagi menggantikan subjek bertulis Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) akan dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula pada 15 hingga 30 November 2021.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata penilaian itu adalah berdasarkan Modul Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (MPKAFA) yang boleh dimuat turun oleh penilai yang akan dilantik melalui portal Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) Jakim mulai 8 hingga 10 November ini.

Beliau berkata, MPKAFA terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian A membabitkan kaedah penilaian secara lisan berdasarkan silibus Kurikulum KAFA Jakim bermula dari Tahun 3 hingga Tahun 5 dengan markah yang diperuntukkan adalah 75 peratus.

"Bahagian B pula ialah penilaian terhadap nilai, sahsiah, kehadiran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), hasil kerja dan komitmen. Markah yang diperuntukkan adalah 25 peratus.

"Sepanjang tempoh penilaian tersebut, PdPR bagi murid Tahun 5 dan Tahun 6 hanya dikhususkan untuk pelaksanaan MPKAFA sahaja. Aktiviti penilaian bersepadu ini melibatkan semua guru KAFA di setiap premis KAFA yang boleh dilaksanakan secara dalam talian, luar talian dan off-site," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Gambar hiasan daripada internet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad pada 23 Sept lepas mengumumkan peperiksaan bagi subjek bertulis UPKK untuk calon 2020 dan 2021 akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

Abdul Aziz berkata, dengan pelaksanaan itu, diharapkan agar agensi pelaksana KAFA di setiap negeri, pentadbir premis dan guru KAFA memastikan pelaksanaan MPKAFA berjalan lancar.

"Sesi libat urus bersama agensi pelaksana KAFA di setiap negeri berkaitan pelaksanaan MPKAFA juga akan dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan kelak.

"Pelbagai saluran informasi akan digunakan bagi memastikan maklumat jelas disampaikan kepada semua pihak berkaitan termasuk ibu bapa, murid-murid dan agensi pelaksana KAFA," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok