Penjelasan pakar UM tentang Kuala Lumpur. 'Perlu selidik fakta sebelum sebar' - Dr Elanni
Nama Universiti Malaya (UM) menjadi tular gara-gara individu yang dikenali Dr Sarah Jamal memuat naik hantaran di laman sosial dengan mengatakan terdapat gua kosong yang besar di bawah Kuala Lumpur.
Beliau (Sarah) yang mendakwa dirinya ahli geologi terkemuka dari UM, telah menulis panjang lebar tentang kisah ‘gua kosong’ yang dikatakan berada di ibu kota itu.
Dalam kenyataan tersebut, Sarah berkata, struktur geologi unik telah terbentuk berjuta-juta tahun lalu, menjadikan Kuala Lumpur seolah-olah sebuah bandar yang dibina di atas ‘atap’ sebuah gua raksasa.
Kupasan demi kupasan diberikan oleh Sarah sehinggakan ada dalam kalangan rakyat Malaysia, mempercayai ‘bulat-bulat’ catatan itu.
Bagaimanapun, apa yang ditulis Sarah adalah palsu dan diakui oleh Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Profesor Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan dengan memaklumkan, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di UM.
"Juga, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal didaftarkan di dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia," katanya di Facebook Jabatan Geologi, UM, Isnin lalu.
Pada petang Selasa (27 Ogos), Sinar Bestari mendapati Facebook berkenaan memuat naik hantaran penting mengenai geologi, kejadian dan risiko mendapan tanah yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Ulasan yang ditulis Pensyarah Kanan, Jabatan Geologi, Fakulti Sains, UM, Dr Elanni Md Affandi cukup menarik untuk dijadikan ilmu pengetahuan baharu kepada masyarakat terutamanya pelajar dan mahasiswa.
Selanjutnya, ikuti catatan penuh Dr Elanni yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang geobencana, risiko bencana dan geologi bandar, khusus Kuala Lumpur.
*****
Susulan kejadian lubang benam atau mendapan tanah yang berlaku di Masjid India beberapa hari yang lepas, kami mendapati kawasan kejadian (bertanda bintang merah) bukan terletak di kawasan batu kapur (Kuala Lumpur Limestone) seperti yang dikongsikan oleh media dan beberapa ‘pakar’ geologi, baru-baru ini.
Namun demikian, merujuk kepada peta geologi yang dikongsikan ini, lokasi kejadian didasari batuan filit, kuarzit dan batu pasir Formasi Kenny Hill, bersebelahan Kuala Lumpur Limestone.
Kawasan batu kapur (bahagian biru cair di dalam peta) terbentuk daripada batuan kalsium karbonat yang mudah terhakis atau mengalami proses pelarutan (dissolution) apabila bertindak dengan air yang bersifat asidik.
Di sinilah terbentuknya fitur-fitur batu kapur seperti gua (cave), jerungkau (overhang), lohong (cavities), alur perlarutan (dissolution channels) dan lubang benam (sinkhole).
Rupa bumi kars adalah formasi geologi yang unik dan kerap terbentuk di batuan mudah larut seperi batu kapur, gypsum dan halite melalui proses karstification.
Sebanyak 30 peratus daripada kawasan bawah tanah Kuala Lumpur terdiri daripada, bukan 40 - 60 peratus seperti yang ditularkan di media.
Proses ini memakan masa berjuta tahun namun boleh dipercepatkan oleh faktor pencetus luaran yang alami atau disebabkan aktiviti manusia.
Sinkhole atau lubang benam yang dikaitkan dengan kars hanya terjadi di kawasan Kuala Lumpur Limestone, namun kejadian ini sangat jarang berlaku.
Sejak beberapa tahun yang lepas, banyak insiden ‘sinkhole’ di Kuala Lumpur yang kita terlintas di ruang berita namun faktor pencetusnya lebih kepada saluran paip pecah, paras air bawah tanah yang berubah serta kerja-kerja pembinaan.
Kebarangkalian untuk lubang benam terjadi di kawasan selain kars seperti di Formasi Kenny Hill adalah rendah kerana memerlukan dua faktor untuk wujud seiring iaitu lapisan tanah terluluhawa yang nipis dan lohong dari batu kapur yang terletak di bawahnya.
Mengikut kajian, lapisan tanih yang terluluhawa di atas Formasi Kenny Hill berketebalan maksimum 20 m.
Secara saintifiknya, definisi mendapan tanah lebih sesuai digunakan untuk merujuk kepada efek kemampatan tanah disebabkan kandungan air yang tinggi atau sebarang pergerakan /gegaran yang menyebabkan penurunan tanah tersebut.
Menjawab kepada perkongsian sesetengah pihak di media sosial yang mengolah jurnal artikel penyelidikan kami, bahawa kajian mendapati 20 peratus daripada kawasan Kuala Lumpur yang dilabel sebagai Zone A dalam peta Development Suitability Zone membawa maksud 20 peratus daripada kawasan kajian dianggap sesuai untuk pembangunan pada masa hadapan atau pembangunan semula sesuatu kawasan untuk tujuan lain.
Peratusan ini telah mengambil kira kekangan formasi dari aspek geologi kejuruteraan dan kerentanan terhadap tanah runtuh dan banjir.
Ia tidak bermaksud hanya 20 peratus yang selamat untuk didiami manakala selebihnya berisiko tinggi terhadap kejadian lubang benam atau bahaya geologi yang lain.
Sebaliknya, Zone C (kawasan yang berwarna merah jambu) merangkumi 35 peratus diklasifikasi sebagai kawasan yang mempunyai kekangan tinggi dari aspek kejuruteraan geologi yang mungkin memberi masalah kepada pembangunan sedia ada kerana keadaan bawah tanah yang sukar diramalkan. Kawasan ini juga terdedah kepada banjir dan tanah runtuh.
Terdapat juga spekulasi yang tak berasas di internet yang mengatakan kota raya Kuala Lumpur akan tenggelam atau akan ‘jatuh’ ke dalam gua yang besar di bawahnya.
Pembaca perlu menyelidik sesuatu fakta sebelum menyebarkannya tanpa berfikir panjang.
Berdasarkan sejarah, Kuala Lumpur adalah sebahagian Lembah Klang yang merupakan kawasan lombong timah sejak tahun 1850an.
Disebabkan kedudukan bandar di paras yang sangat rendah, ia dikenali sebagai dataran alluvial atau dataran banjir, jadi tidak hairanlah banjir kerap berlaku di ibu kota.
Namun, kadar taburan hujan yang lebih kerap dan keamatan yang tinggi (akibat perubahan iklim) telah meningkatkan lagi proses yang menyumbang kepada petaka geologi seperti tanah runtuh, lubang benam dan tanah mendap.
Kita perlu belajar untuk beradaptasi dengan keadaan semasa di mana petaka geologi adalah sesuatu yang bukan luar biasa lagi.
Ini hanya boleh dicapai dengan usaha bersepadu daripada pihak berkuasa serta kepakaran dari para saintis untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang komprehensif di kawasan terdedah, menggunakan sistem ramalan lanjutan dan melengkapkan masyarakat dengan kesedaran dan kesediaan menyeluruh untuk kejadian yang tidak dijangka.
Melihat kepada fakta-fakta geologi serta laporan yang terkini, kami sedia maklum bahawa saluran pembetungan telah pecah dan mengakibatkan saluran arus deras dan membawa sekali fill material, mengakibatkan struktur pejalan kaki hilang sokongan.
Namun, ini cuma apa yang kita nampak di lokasi kejadian dan seperti yang dilaporkan di media.
Persoalan masih timbul berkenaan keadaan pada kedalaman 10 – 20 m, atau mungkin ketebalan tanah menghampiri 30 m ke bawah?
Ini akan membuktikan kawasan didiami geologi yang berbeza daripada apa yang dipetakan sebelum ini.
Adakah kejadian ini dinamakan tanah jerlus, lubang benam atau hanya sekadar mendapan tanah yang tercetus oleh kegagalan reka bentuk sistem utiliti?
Insiden mendapan tanah di tempat yang sama sebelum ini menunjukkan kawasan tersebut berisiko tinggi, namun apa tindakan susulan yang dibuat oleh pihak berkuasa atau sekadar membaiki permukaan yang kita nampak sahaja?
Kajian dan siasatan yang menyeluruh membabitkan semua pihak berkenaan dengan bantuan alat geofizik mampu memberikan gambaran yang jelas mengenai keadaan bawah tanah Kuala Lumpur.
Sudah masanya pihak berkuasa, dengan bantuan pelbagai pakar mengkaji risiko bawah tanah dan interaksi dengan sistem utiliti atau infrastruktur yang ‘ditanam’ oleh manusia.
Ancaman terbesar di sesebuah bandar yang membangun bukanlah petaka semula jadi, tetapi dari tindakan manusia sendiri.
Kehilangan nyawa, kerosakan dan kerugian yang terhasil boleh dikurangkan melalui reka bentuk infrastruktur, pemantauan dan usaha mitigasi yang berkesan.
Melihat kepada fasa pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur, informasi geosaintifik perlu dikongsi dan diterapkan dalam pelan pembangunan secara menyeluruh, mengambil kira faktor-faktor antropogenik untuk meningkatkan daya tahan bandar terhadap bencana akibat perubahan iklim serta dari kerja-kerja pembangunan.