
1,196 sekolah di Johor laksana program kempen antibuli
Kempen Anti-Buli Peringkat Negeri Johor dilancarkan secara serentak di 1,196 sekolah di seluruh negeri pada Isnin.
Menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, program tersebut dilaksanakan bagi memastikan Johor menjadi safe zone untuk para pelajar menimba ilmu.
Katanya, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Usaha ini bukan sahaja digerakkan di sekolah menengah dan rendah, malah turut membabitkan sekolah agama serta institusi di bawah portfolio kerajaan negeri.
"Malah, agensi kerajaan juga telah bersama-sama membantu menjayakan kempen ini termasuk kerjasama dengan PBT.
"Jika kita lihat, iklan-iklan di papan iklan elektronik (LED) turut memaparkan mesej kempen anti-buli ini dan diharapkan usaha ini berterusan bagi memberikan penerangan jelas kepada anak-anak pelajar tentang kesan negatif aktiviti buli," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kempen Anti-Buli Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengerang Utama pada Isnin.
Sementara itu, Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, setiap sekolah akan menerima kehadiran pemimpin negeri bagi menyampaikan ucapan khas Menteri Besar Johor sebagai simbolik sokongan terhadap usaha membanteras buli.
Tambahnya, Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri juga telah ditubuhkan bagi memantau perkembangan serta keberkesanan kempen tersebut dari semasa ke semasa.
"Kempen ini tidak bermusim, ia akan diteruskan secara berterusan. Kita mahu pelajar faham kesan buli dan pada masa sama memastikan pelaku dibimbing supaya tidak mengulangi perbuatan itu.
"Kerjasama dengan PDRM melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS) juga diperkukuh. PPS akan memberi taklimat kepada pelajar mengenai kesan dan implikasi undang-undang jika terlibat dalam buli.
"Kita yakin langkah menyeluruh ini akan meningkatkan kesedaran serta membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat untuk anak-anak Johor," katanya.