Pensyarah didakwa hina B40, UiTM sudah ambil tindakan dan tidak akan berkompromi
SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengambil tindakan pantas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti itu.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihak universiti telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.
“UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti dengan sengaja mahupun tidak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Baca juga
MPP UiTM, MPPK desak tindakan dikenakan ke atas pensyarah hina B40
(VIDEO) Bantu kemaskan barang rakan OKU sebelum balik sekolah, cikgu terharu peribadi unggul murid
Kenyataan dikeluarkan merupakan susulan daripada penularan video di media sosial membabitkan seorang pensyarah yang telah mengeluarkan komen sensitif terhadap salah satu pelajarnya.
Menurut Roziah lagi, UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.
“Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti.
“Sememangnya dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40, justeru, segala kemudahan pembiayaan melalui dana-dana tertentu disediakan oleh universiti,” ujarnya.
Beliau juga berkata, UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
“Pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni,” tambahnya.
"Oleh itu, saya menyeru kepada para pelajar yang berdepan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.
“Dalam merealisasikan keberkesanan pelaksanaan PdP secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dari semua aspek,” kata beliau.