Susulan cuaca panas dan jerebu, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
Susulan cuaca panas dan jerebu, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

Penting! KPM senarai 7 langkah pencegahan sepanjang cuaca panas dan jerebu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 May 2023 09:08am

Kementerian Pendidikan (KPM) telah memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawahnya agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan sepanjang cuaca panas dan jerebu yang melanda negara ketika ini.

KPM dalam satu kenyataan media pada Jumaat berkata, tujuh langkah pencegahan itu terdiri daripada penangguhan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas; memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas; bagi kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan; serta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM sekali gus menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

Seterusnya, KPM turut melaksanakan langkah pencegahan seperti menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai bagi mengawal suhu badan; membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman; serta sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

Menurut kenyataan itu lagi, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Mereka juga diminta peka dengan perkembangan semasa melalui media berhubung fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid atau pelajar dan warga institusi pendidikan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp