Panas baran paling merugikan
Sifat cepat marah atau panas baran adalah perkara sukar dikawal oleh sesetengah orang.
Kepuasan yang diperoleh dengan cara melepaskan amarah adalah perkara yang tidak menguntungkan untuk diri sendiri dan orang sekeliling.
Hakikatnya, kepuasan yang dirasai itu hanyalah untuk masa yang singkat dan merugikan dalam jangka masa panjang.
Sebilangan besar daripada masalah-masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, penceraian dan kemalangan jalan raya disumbangkan oleh individu yang mempunyai masalah panas baran.
Hal ini kerana, individu seperti ini cenderung melakukan tindakan menurut emosi tanpa memikirkan kesan negatif yang mungkin tercetus akibat tindakan agresif mereka.
Di Malaysia, sikap panas baran adalah antara isu yang biasa didengari antaranya kes-kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak di pusat penjagaan, kes keganasan rumah tangga dan samseng jalanan.
Masalah panas baran boleh berpunca daripada isu seperti tekanan hidup, kurang rehat, trauma masa lampau dan penyalahgunaan dadah. Tekanan hidup sebagai contoh, sering dijadikan alasan oleh pelaku untuk melepaskan emosi dengan cara yang negatif.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai faktor dan asbab yang rasional untuk seseorang individu merasa tertekan dalam kehidupan seharian mereka seperti konflik di tempat kerja, kos sara hidup yang meningkat, tiada pekerjaan, serta tekanan belajar. Namun, faktor-faktor tersebut bukanlah ‘lesen’ yang membenarkan pelaku mengekspresikan emosi mereka melalui amarah bagi melepaskan tekanan hidup yang dirasai.
Menurut statistik yang diwar-warkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad, punca tertinggi kes keganasan rumah tangga yang berlaku sepanjang tahun 2023 disumbangkan oleh masalah panas baran.
Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah merekodkan sebanyak 340 kes keganasan rumah tangga, 85 kes sikap panas baran dan 71 mangsa wanita serta 14 mangsa lelaki turut direkodkan akibat sikap panas baran tersebut.
Pensyarah Kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Suhaimi berpendapat, sikap panas baran merupakan salah satu masalah kesihatan mental di mana individu tidak mampu mengawal emosi terpendam mereka sehingga menyebabkan berlakunya tindakan amarah luar kawalan yang agresif.
Individu seperti ini berkelakuan agresif bagi menunjukkan sisi dominan mereka ke atas orang sekeliling.
Bagi penulis, sikap panas baran bukanlah penyelesaian bagi individu untuk meluahkan emosi mereka.
Sikap seperti ini mampu memberi kesan negatif kepada diri sendiri mahupun orang sekeliling.
Kepada individu yang mengamalkan sikap gemar melepaskan amarah, tahap kesihatan diri mereka mungkin akan terjejas seperti masalah kemurungan.
Tidak terkecuali, individu seperti ini juga berkemungkinan akan mengakibatkan kecederaan ke atas orang sekeliling mereka melalui tindakan ‘naik tangan’ di mana keganasan fizikal berlaku.
Penulis ingin memberi cadangan supaya mereka yang mempunyai masalah panas baran agar menggunakan tenaga negatif mereka ke atas perkara yang positif seperti bersenam.
Mengikut psikologi, tenaga negatif yang dibawa oleh perasaan marah mampu meningkatkan prestasi fizikal seseorang. Oleh itu, melakukan senaman ketika emosi marah sedang membuak adalah solusi yang sesuai diamalakan.
Antara pengajaran penting yang boleh dijadikan iktibar adalah sikap panas baran merupakan sikap yang tidak digemari oleh masyarakat.
Hal ini kerana, sikap negatif ini mendatangkan akibat-akibat yang merugikan buat semua pihak termasuk pelaku dan mangsa.
Tambahan pula, kesan yang ditanggung akibat perbuatan pelaku adalah berbentuk jangka panjang. Keganasan rumah tangga sebagai contoh, akan menyebabkan trauma dalam kalangan mangsa.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka, Muhammad Iqbal Irwan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my