
Pentingnya bendera Malaysia identiti negara
Kebelakangan ini, banyak isu berkaitan bendera kebangsaan kita timbul. Pemaparan reka bentuk identiti negara yang tidak lengkap oleh rakyat kita sendiri menimbulkan tanda tanya. Adakah rakyat Malaysia semakin kehilangan jati dirinya? Sehinggakan reka bentuk bendera negara sendiri tidak diketahui. Keadaan ini perlu diperbetulkan agar kesilapan yang sama tidak diulangi di masa hadapan.
Setiap warganegara perlu tahu dan sedar bahawa bendera kebangsaan kita bukanlah sekadar kain yang dihias dengan simbol dan warna. Sebaliknya ia adalah lambang rasmi negara yang harus dihormati. Bendera kebangsaan yang ada pada hari ini telah melalui satu proses yang panjang. Pada tahun 1948, bendera negara kita dicipta demi kelahiran Persekutuan Tanah Melayu. Sehingga tahun 1963, bendera Malaysia mengalami perubahan dengan pembentukan Malaysia. Segala perubahan yang berlaku ke atas bendera kebangsaan mempunyai sejarah dan maknanya tersendiri.
Kini, setiap simbol dan warna yang terdapat pada bendera kebangsaan kita mempunyai makna tersendiri. 14 jalur merah dan putih melambangkan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan dalam Persekutuan Malaysia. Bulan sabit dan bintang pecah 14 yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta perpaduan antara negeri-negeri.
Sebagai identiti negara, Jalur Gemilang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Mari kita lihat antara kepentingannya:
1) Sebagai identiti negara, Jalur Gemilang dapat menyemai semangat patriotik dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia. Apabila kita mengibarkan bendera kebangsaan, secara tidak langsung ia dapat memupuk rasa bangga, taat setia dan perasaan cintakan akan negara. Semangat patriotik ini penting untuk memastikan generasi muda membesar dengan jati diri yang kukuh dan rasa tanggungjawab kepada negara.
2) Menghormati Jalur Gemilang menunjukkan bahawa kita menghormati sejarah perjuangan negara. Setiap jalur, warna dan simbol pada bendera Malaysia melambangkan semangat perjuangan pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada pembentukan Malaysia. Maka, dengan menghormati bendera kebqngsaan bermakna kita mengenang jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh yang bertungkus lumus dalam membentuk negara kita yang tercinta.
3) Tambahan pula, Jalur Gemilang berperanan sebagai simbol perpaduan. Malaysia merupakan sebuah negara majmuk. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama, bahasa dan budaya. Dengan kerencaman yang wujud, Jalur Gemilang memainkan peranan sebagai alat perpaduan yang menyatukan kesemua rakyat Malaysia di bawah satu panji suci. Tidak timbul soal orang Melayu, orang Cina, orang India ataupun peribumi Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, semua dilihat sebagai rakyat Malaysia. Keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum akan terus terjamin.
4) Jalur Gemilang sebagai lambang rasmi negara membentuk warganegara yang bertanggungjawab. Mana-mana rakyat yang menunjukkan rasa hormat yang tinggi terhadap bendera negara pasti merupakan seorang rakyat yang sangat prihatin terhadap isu-isu negara serta berusaha menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan tanah airnya. Warganegara seperti ini sangat bertanggungjawab dan menunjukkan teladan yang baik seperti menjaga kebersihan, menghormati undang-undang, menghormati kaum-kaum lain dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
5) Jalur Gemilang merupakan lambang negara Malaysia di persada antarabangsa. Ia menjadi identiti negara dalam pelbagai acara sukan, persidangan dan misi diplomatik. Dengan menghargai bendera negara, kita secara tidak langsung menunjukkan kebanggaan dan sokongan terhadap kedaulatan serta imej Malaysia di mata dunia.
Tuntasnya, bendera kebangsaan adalah identiti negara yang tidak ternilai harganya.
Sebagai warganegara Malaysia, kita sewajarnya memanisfestasikan rasa cinta, hormat dan tanggungjawab terhadap tanah air tercinta.
Tunjukkan penghormatan yang tidak berbelah bahagi demi memartabatkan negara berdaulat, Malaysia.
Setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan dalam memelihara maruah bendera negara agar Jalur Gemilang terus megah berkibar.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Akademik, Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak, Dr Jayakumary Marimuthu
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my