Untitled (14)
Untitled (14)

Penubuhan Yayasan Kebajikan Mahasiswa Keluarga Malaysia, bukti kerajaan prihatin dengan suara siswa di Malaysia - MPPK

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Oct 2021 06:41pm
A
A
A

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yakin penubuhan Yayasan Kebajikan Mahasiswa Keluarga Malaysia akan dapat memastikan lebih banyak inisiatif dan bantuan dapat disampaikan kepada mahasiswa bagi meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan di kampus.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, penubuhan yayasan ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan sentiasa mendengar suara mahasiswa yang juga merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, MPPK akan terus menjadi penghubung dan pemangkin dalam memastikan konsep Keluarga Malaysia ini dapat dihayati oleh pelajar di peringkat universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta suara mereka diangkat demi merealisasikan pemerkasaan mahasiswa Keluarga Malaysia.

"Semoga dengan penubuhan yayasan ini, lebih ramai mahasiswa dapat dibantu dan tiada lagi yang akan tercicir selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu “No One Left Behind” dalam sebuah Keluarga Malaysia.

"MPPK juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan kerana telah merealisasikan penubuhan Yayasan Kebajikan Mahasiswa Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sempena pertemuan khas kepimpinan MPPK bersama Perdana Menteri hari ini, Ismail Sabri turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM 5 juta kepada Yayasan Kebajikan Mahasiswa Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, MPPK turut menghargai usaha Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sedaya upaya memastikan penubuhan yayasan ini dapat dizahirkan.

Yayasan Kebajikan Mahasiswa selepas ini akan berada di bawah Kementeria Pengajian Tinggi (KPT).

"Terima kasih kepada Datuk Seri Noraini kerana sentiasa cakna serta prihatin dalam mendengar suara dan denyut nadi mahasiswa sejak dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam memastikan pendapat mahasiswa sentiasa diberi perhatian dan didengari," ujarnya.

Penubuhan Yayasan Kebajikan Mahasiswa adalah selaras dengan Agenda Empat yang telah diperjuangkan oleh MPPK selama ini melakui 11 Agenda MPPK yang dilihat penting bagi memelihara dan memastikan kebajikan mahasiswa dapat terus dipelihara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok