Norman berkata, fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan AI untuk menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan efisien.
Norman berkata, fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan AI untuk menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan efisien.

Peranan DBP tonggak utama perluasan bahasa Melayu di China, ASEAN - Duta Besar

23 May 2025 11:27am

Sokongan berterusan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diperlukan dalam memperbanyak, mempelbagaikan dan menyumbang bahan bacaan bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa terutamanya di negara ASEAN dan China.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, kerajaan Malaysia sentiasa komited dan bersedia untuk membantu usaha pengembangan bahasa Melayu di peringkat global.

"Bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, besarlah harapan saya untuk melihat bahasa Melayu dapat diperluas penggunaannya di rantau ASEAN dalam mengukuhkan hubungan persahabatan, pendidikan, perdagangan dan pertukaran budaya," katanya semasa Majlis Perasmian dan Makan Malam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China Kelima (SATBBMC V).

Seminar dwitahunan itu dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Beijing Foreign Studies University (BFSU), Pejabat Education Malaysia Beijing dan DBP.

Mendepani ledakan gelombang kecerdasan buatan (AI), Norman berkata, fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan AI untuk menjadikan proses pembelajaran sesuatu bahasa itu lebih interaktif dan efisien dengan akses yang lebih meluas.

"Hal ini akan merancakkan minat pelajar untuk mendalami dan menguasai sesuatu bahasa dengan mudah dan lebih berkesan," katanya.

Setakat ini, terdapat 17 institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pembelajaran bahasa Melayu di seluruh China.

Norman berkata, perkembangan bahasa Melayu bukan sahaja menggalakkan, tetapi juga menjadi lambang kekukuhan hubungan ilmiah dan diplomasi pendidikan antara Malaysia dan China sepanjang lebih 60 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, kementerian bersedia untuk membantu dan mengalu-alukan sebarang kolaborasi dengan negara anggota ASEAN dalam mengembangkan usaha pembelajaran bahasa dan budaya Melayu di rantau berkenaan.

Mengenai BFSU, beliau berkata, peranan yang dimainkan oleh universiti itu sebagai jambatan emas kepada hubungan diplomasi pendidikan kepada Malaysia dan China tidak boleh dinafikan.

"Sejarah menyaksikan bahawa BFSU telah mula mengasaskan program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak 1961 menerusi pengasasnya, mendiang Profesor Wu Zongyu dan aura semangat perjuangannya masih dapat dirasakan sehingga kini," katanya.

Pada majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku berjudul 'Selongkar Budaya, Bahasa dan Sosiologi dalam Terjemahan China-Melayu' oleh Duta Besar Malaysia yang menghimpunkan karya-karya penulis dari Malaysia dan China. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp