Fadhlina berkata, walaupun kes masih dalam siasatan polis, namun hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dipelihara selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua. - Gambar fail
Fadhlina berkata, walaupun kes masih dalam siasatan polis, namun hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dipelihara selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua. - Gambar fail

Empat pelajar terlibat kes rogol dalam sekolah tetap ambil SPM - Fadhlina

12 Oct 2025 09:42pm

Empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol secara bergilir-gilir di sebuah sekolah menengah di Melaka tetap akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 November depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kes masih dalam siasatan polis, namun hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dipelihara selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua.

"SPM akan tetap diteruskan. Kita pastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan walaupun siasatan masih berjalan,” katanya selepas mengadakan pertemuan khas bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Polis Negeri, Datuk Zulkairi Mukhtar di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka di Bukit Beruang pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad.

Fadhlina berkata, mangsa masih ditempatkan di hospital dan belum dipindahkan ke rumah perlindungan, sementara menerima rawatan lanjut serta bimbingan psikologi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika ini adalah memastikan semua pelajar di sekolah berkenaan termasuk calon SPM serta guru-guru mendapat sokongan emosi dan psikososial sepenuhnya.

"Kaunselor-kaunselor akan diturunkan ke sekolah untuk membantu warga pendidik dan pelajar supaya persiapan mereka menghadapi SPM tidak terganggu.

"Sekolah ini merupakan antara yang terbaik di Melaka, jadi kita berikan perhatian penuh," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan diadakan itu turut membincangkan langkah intervensi dan pencegahan jangka panjang bagi mengelak insiden sama berulang.

"Kita bincangkan bagaimana mahu tangani dan cegah kes seperti ini daripada berulang pada masa depan.

"Tindakan undang-undang kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis, manakala KPM akan terus fokus pada aspek sokongan disiplin, emosi dan keselamatan di peringkat sekolah," katanya.

Fadhlina turut mengingatkan masyarakat agar lebih cakna terhadap isu jenayah seksual dalam kalangan pelajar serta menghormati undang-undang perlindungan maklumat peribadi bawah umur.

"Masyarakat perlu faham bahawa ini adalah kes bawah umur. Kita ada undang-undang yang melindungi maklumat dan identiti mereka. Ibu bapa juga perlu beri perhatian dan ambil serius terhadap kes-kes seperti ini," katanya lagi.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.

Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.

Susulan itu, kesemua suspek telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian 

 

 

Ringkasan AI

  • Empat pelajar lelaki disyaki terlibat kes rogol akan menduduki SPM
  • Hak untuk menduduki peperiksaan dipelihara meskipun siasatan polis berjalan
  • Mangsa masih ditempatkan di hospital menerima rawatan lanjut dan bimbingan psikologi
  • Kementerian Pendidikan memastikan sokongan emosi dan psikososial untuk semua pelajar dan guru
  • Langkah intervensi dan pencegahan jangka panjang dibincangkan untuk mengelak insiden sama berulang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp