Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang di Universiti Filipina. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang di Universiti Filipina. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri dianugerahkan Ijazah Kehormat Universiti Filipina

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
02 Mar 2023 06:19pm
A
A
A

Universiti Filipina (UP) telah menganugerahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Villamor universiti tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak universiti berkenaan, Anwar dianugerahkan Ijazah Kehormat itu kerana menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, agama Islam, demokrasi serta akauntabiliti.

Ijazah kehormat itu disampaikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina, J Prospero E De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP, Angelo A Jimenez.

Naib Canselor (Hal Ehwal Awam) UP, Jose Wendell Capili berkata, Anwar merupakan peminat tegar tokoh kebanggaan Filipina, Jose Rizal.

Jelasnya, minat Anwar kepada Jose Rizal semakin menebal apabila beliau kerap mengunjungi UP di usia mudanya dengan mendapat bimbingan daripada mendiang Profesor Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP, Cesar Adib Majul.

“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran yang ada pada Jose Rizal.

“Minat Anwar semakin mendalam setelah kerap mengunjungi UP semasa muda di bawah bimbingan mendiang Profesor Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP Diliman Cesar Adib Majul.

“Anwar seorang yang dihormati kerana memiliki pegangan prinsip yang utuh dalam menentang rasuah dan kerana pengurusan cekap yang dipamerkannya ketika mengemudi ekonomi Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia” katanya pada majlis penganugerahan tersebut baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Anwar tiba di Filipina semalam atas urusan lawatan rasmi selama dua hari yang juga merupakan lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada November tahun lalu.

Sebaik tiba, beliau diberi sambutan rasmi oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang, Filipina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok