Untitled design (9)
Untitled design (9)

Perdana Menteri gesa mata pelajaran Pendidikan Islam dikaji semula demi kebaikan semua

firdaus.hanafi
26 Jan 2023 07:38pm
A
A
A

Agama adalah pegangan juga kepercayaan seseorang. Ia menjelaskan kepada manusia perbezaan antara perkara baik dan buruk.

Rata-rata agama di dunia ini mengajar penganutnya untuk berbuat baik antara satu sama lain terutamanya agama Islam yang mengajar semua manusia itu sama di mata tuhan.

Agama mempunyai larangan yang harus dipatuhi dan perintah untuk ditaati kerana ia penting untuk meningkatkan nilai kebaikan dalam diri seseorang.

Individu yang baik akan mewujudkan masyarakat harmoni untuk membentuk sebuah negara yang aman.

Itu antara sebab mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya mata pelajaran Pendidikan Islam harus dikaji semula supaya fahaman yang lebih jelas boleh diberikan kepada pelajar.

Menurut Anwar, ini penting supaya tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan hujah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Walaupun begitu beliau berkata, perkara ini akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk sebarang ketetapan.

“Perkara ini akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi sambil dilihat kepada cadangan-cadangan dari sarjana-sarjana utama termasuk untuk dikaji semula dengan mendalam.

“Ini bagi memastikan mesej kebaikan yang ada pada Islam itu dapat disampaikan dengan lebih jelas terutamanya dari segi akhlak dan sifat kemanusiaan.

“Sepatutnya al-Quran dirujuk terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei ‘Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Anwar, isu ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir individu yang membuat fatwa masing-masing dalam majlis tazkirah.

Tambah beliau, apabila diberikan teguran individu yang menegur itu dituduh sebagai anti ulama.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri merasakan perkara asas dalam mata pelajaran ini dilihat mampu mengubah fahaman umat Islam supaya tidak mudah percaya dengan hujah sembarangan.

Ujarnya, tidak semua kenyataan yang dikeluarkan benar meskipun datang daripada individu yang mempunyai nama.

“Kerana dia tokoh parti atau ulama maka semua kenyataan dia benar? Islam bukannya begitu, dan tidak mengajar begitu,” kata beliau.

 

Artikel berkaitan

Anwar umum Bantuan Awal Persekolahan RM150 bermula Januari ini

Pentingnya peranan guru sebagai pendidik

Usaha melahirkan ilmuwan Islam, USIM kini jalin kerjasama dengan pusat penyelidikan di Uzbekistan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok