RPJJ USM merupakan program pengajian tinggi terulung yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja. Gambar kecil: Mohd Rashid
RPJJ USM merupakan program pengajian tinggi terulung yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja. Gambar kecil: Mohd Rashid

Rancangan Pendidikan Jarak Jauh USM sedia akses pendidikan tinggi

07 Feb 2025 12:30pm

Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang fleksibel bagi mereka yang tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Hal ini dapat dicapai melalui penerapan pelbagai teknologi dan aplikasi terkini dalam membolehkan pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh dilaksanakan.

Justeru, RPJJ USM yang telah mula ditawarkan sejak tahun 1971, merupakan program pengajian tinggi terulung yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja.

Ini amat penting dalam konteks masa kini terutama kepada pekerja yang memasuki alam pekerjaan sejurus selepas menamatkan alam persekolahan.

Melalui RPJJ, peluang untuk mereka menimba ilmu di universiti belum berakhir.

Sebaliknya RPJJ USM memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran dan kelayakan tanpa mereka perlu keluar dari alam pekerjaan.

Pembelajaran sambil bekerja bukan sahaja meningkatkan kerjaya tetapi juga memperkayakan pengetahuan dan pengalaman.

Dengan adanya RPJJ, pendidikan menjadi lebih menyeluruh dan mudah diakses sekali gus menyokong pembangunan peribadi dan profesional.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sistem RPJJ USM membolehkan pembelajaran tanpa kehadiran fizikal di kelas dan memanfaatkan teknologi digital untuk sesi pembelajaran.

Konsep utama RPJJ adalah fleksibiliti dalam akses terhadap proses pembelajaran yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dari pelbagai lokasi.

Melalui pendekatan ini, pelajar yang dihambat kesibukan atau jarak yang jauh dari institusi pendidikan masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian pada peringkat tertinggi.

Pelajar boleh menikmati fleksibiliti dalam pembelajaran melalui bahan pembelajaran kendiri, kuliah, bimbingan dan penilaian secara dalam talian.

Format ini membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, menyertai perbincangan dan menghantar tugasan melalui pelantar portal dalam talian yang disediakan.

Peluang belajar sambil bekerja membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran dan kelayakan sambil terus menikmati kemajuan dalam kerjaya.

Bagi majikan, RPJJ menyediakan tenaga kerja yang lebih terlatih dan berpengetahuan tanpa perlu menghantar mereka menghadiri kursus di luar waktu kerja.

Dalam erti kata lain, RPJJ dapat membantu individu meningkatkan kerjaya mereka dan memberi manfaat kepada organisasi dalam membangunkan tenaga kerja yang berorientasi masa depan.

RPJJ di USM telah mendapat akreditasi dan kurikulum yang relevan dengan pasaran kerja.

No Image Caption

Setiap pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik dan terjamin.

RPJJ menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian.

Juga Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Pemasaran dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi dengan Kepujian.

RPJJ USM adalah pilihan tepat untuk mereka yang mencari peluang menyambung pengajian sambil bekerja tapi berhadapan dengan kekangan masa dan bebanan kewangan.

Justeru, teknologi terkini dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai perkhidmatan sokongan menjadi teras untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Sebagai pelajar RPJJ USM, mereka berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran daripada salah satu universiti penyelidikan tersohor di Malaysia dan universiti yang mempelopori agenda kelestarian.

No Image Caption

Permohonan kemasukan ke RPJJ Fasa Satu dibuka mulai 27 Januari 2025 hingga 2 Mei 2025.

Rebutlah peluang keemasan ini bagi melanjutkan pengajian di universiti terkemuka iaitu USM.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://pohon.usm.my atau hubungi PPPJJ di talian 04-653 6197.

Maklumat Penulis:

Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Mohd Rashid Abdul Rejab

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp