Permohonan Dermasiswa B40 dibuka mulai 5 Ogos 2024
Permohonan bagi Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2024 akan dibuka mulai 5 Ogos hingga 18 Ogos depan.
DB40 yang dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), boleh mengemukakan permohonan menerusi laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di https://www.jpa.gov.my atau https://bmipenajaan.jpa.gov.my.
Dua saluran pertanyaan akan disediakan kepada pelajar sepanjang tempoh permohonan.
Saluran pertanyaan itu adalah secara e-mel: dermasiswa2024@jpa.gov.my atau boleh hubungi 03-8885 3297 untuk maklumat lanjut.
Sebagai makluman, DB40 adalah dermasiswa yang membantu pelajar lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat diploma dalam bidang berfokuskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di universiti awam dan politeknik yang telah dikenal pasti.
Syarat-syarat permohonan bagi DB40 ini terdiri daripada
1) Warganegara Malaysia
2) Bebas daripada penyakit kronik/berjangkit dan disahkan sihat
3) Ibu dan/atau bapa tidak disenaraikan hitam oleh JPA
4) Menduduki peperiksaan SPM 2023 buat kali pertama
5) Berumur tidak melebihi 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM
6) Telah menerima tawaran di institusi pengajian
7) Pendapatan per kapita keluarga B40 iaitu RM5,249 sebulan dan ke bawah.
Penajaan bagi program DB40 ini adalah berbentuk dermasiswa dan pelajar tidak terikat dengan sebarang ikatan kontrak berkhidmat.
Bagaimanapun, mereka bertanggungjawab untuk membayar balik nilai perjanjian sekiranya berlaku pelanggaran kepada perjanjian penajaan yang dimeterai.