
Permohonan RKPYS 2026 kini dibuka! 460 tempat ditawarkan untuk pelajar berkelayakan
Permohonan kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 bagi Program Rancangan Khas Pendidikan KPM–Yayasan Selangor (RKPYS) 2026 kini dibuka dengan menawarkan sebanyak 460 tempat kepada mereka yang berkelayakan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor (YS), Raja Nazirin Shah Raja Mohamad, program itu terbuka kepada murid Tahun Enam tahun 2025 yang memenuhi syarat kelayakan.
"Termasuk memperoleh sekurang-kurangnya TP3 bagi semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah swasta berdaftar dan keutamaan diberikan kepada murid luar bandar.
"Selain itu, pemohon atau ibu bapa mestilah lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun, warganegara Malaysia dan terdiri daripada keluarga berpendapatan perkapita kurang RM2,000 sebulan.
"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian mulai 22 September hingga 8 Oktober 2025 melalui laman rasmi YS," maklumnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Kongsi Raja Nazirin Shah, pemohon perlu mencetak borang permohonan yang telah diisi dan menghantarnya bersama dokumen sokongan ke Bahagian Pengurusan Operasi Pendidikan YS selewat-lewatnya 10 Oktober 2025 melalui serahan tangan atau pos.
"Pelajar yang terpilih akan menikmati kemudahan lengkap seperti asrama, biasiswa pendidikan, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan oleh guru berpengalaman," ujarnya.
Sejak diperkenalkan pada 1971, RKPYS dilaksanakan melalui kerjasama erat antara YS, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program ini menjadi salah satu inisiatif unggul YS dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdaya kepimpinan dan berdisiplin tinggi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi YS di www.yayasanselangor.org.my atau menghubungi talian 03-7669 1218 / 1250 / 1217 / 1211 / 1150 / 1141 / 1158.