Program RMT menerima peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi dua tahun berturut-turut.
Program RMT menerima peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi dua tahun berturut-turut.

Peruntukan RMT tertinggi dua tahun berturut-turut

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jul 2024 05:35pm

Bantuan sekolah seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) 2024 dilihat sebagai salah satu usaha terbaik kerajaan meringankan beban perbelanjaan ibu bapa di negara ini.

Sebagai contoh, bantuan RMT telah menggembirakan kumpulan penerima terutamanya murid yang bersekolah di kawasan luar bandar dan datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

RMT bermaksud pemberian makanan tambahan kepada murid-murid (sekolah rendah) bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Makanan tambahan ini boleh didapati dalam bentuk vitamin, mineral, protein, serat atau bahan-bahan lain yang bermanfaat untuk kesihatan.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan, program RMT menerima peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi dua tahun berturut-turut.

“Sejumlah RM716 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk RMT manakala RM777 juta lagi sepanjang 2023.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM616 juta peruntukan untuk RMT bagi 2022.

"Peruntukan tersebut memanfaatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan di bawah garis kemiskinan nasional termasuklah murid di sekolah Orang Asli dan murid berkeperluan khas," katanya dengan menambah peruntukan RMT diberikan bagi memastikan murid mendapat nutrisi sesuai untuk tujuan pembesaran mereka.

Kah Who berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp