
Petikan tali Sundatang, remaja hidupkan irama warisan Sabah
Tidak mahu alat muzik tradisional dikenali sebagai Sundatang terus pupus ditelan zaman, seorang remaja berusia 15 tahun nekad mempelajarinya sebelum memperkenalkan kepada umum menerusi persembahan di majlis kebudayaan dan acara rasmi.
Declan Cade Jingulam Wong menjadikan Sundatang iaitu alat muzik tradisional masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) sebagai simbol warisan seni yang wajar dipelihara dan dibanggakan oleh seluruh masyarakat Sabah.
Sejak dua tahun lalu, pelajar Sekolah Menengah Lok Yuk, Kota Kinabalu itu mula berjinak-jinak dengan Sundatang dan kini kerap mempersembahkannya di hadapan tetamu kenamaan termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Menurut Declan, Sundatang diperbuat daripada kayu dan secara tradisi mempunyai dua tali utama untuk dimainkan.
“Saya mengenali Sundatang ketika menyertai program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Ia alat muzik tradisional masyarakat KDMR, namun semakin dilupakan terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Justeru, saya mahu memperkenalkannya semula agar ia setaraf dengan alat muzik tradisional lain,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.
Tambahnya lagi, alat muzik itu hampir menyerupai sapeh, namun berbeza dari segi bilangan tali dan bunyi yang dihasilkan.
“Sapeh biasanya mempunyai empat hingga enam tali, manakala Sundatang hanya dua. Bunyinya pula lebih kepada melodi dan tidak menggunakan kod seperti gitar,” jelasnya.

Untuk menarik minat rakan sebaya terhadap alat muzik warisan ini, Declan turut mencipta kelainan dengan menyelitkan elemen muzik moden dalam persembahannya.
“Dalam satu majlis pelancaran filem pendek terbitan Petronas baru-baru ini, saya mempersembahkan dua lagu berbahasa Sabah iaitu Kan Apa Sia Bilang dan Kasakazan Bambaazon menggunakan petikan tali Sundatang.
“Ramai remaja kurang minat dengan muzik tradisional. Jadi, saya mainkan juga lagu-lagu moden dan berentak rock agar mereka lebih tertarik,” katanya.
Walaupun sudah dua tahun menguasai alat muzik itu, Declan masih belum memiliki Sundatang sendiri kerana harganya yang tinggi.
“Buat masa ini, saya masih meminjam daripada kenalan. Saya kumpul sedikit demi sedikit hasil upah daripada persembahan untuk membeli alat sendiri. Harapan saya, tahun ini impian itu tercapai,” katanya.
Declan berharap semangat cintakan warisan sepertinya dapat menyuntik inspirasi kepada rakan sebaya untuk mengenali, mempelajari atau sekurang-kurangnya menghayati irama indah Sundatang sebagai warisan budaya yang perlu dipertahankan.