Website
Website

PKIBM perkenal MyUni, sistem permohonan dalam talian pertama ke IPTS

Nor Azma  Muhamat Laila
19 Jul 2021 08:21pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM) memperkenalkan sistem permohonan pelajar ke IPTS secara digital, bersepadu dan berpusat yang pertama seumpama di negara ini.

Sistem yang dikenali dengan nama MyUni itu boleh diakses melalui pautan www.myuni.com.my, merupakan inisiatif PKIBM sejak setahun yang lalu dalam membantu memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapatkan maklumat mengenai peluang pengajian yang ditawarkan di IPTS di seluruh negara.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa, berkata berbanding proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melalui UPUOnline kelolaan Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, permohonan kemasukan pelajar ke IPTS sebelum ini dilaksanakan secara konvensional, tidak berpusat dan dikendalikan oleh institusi masing-masing.

"Melalui pendekatan ini, pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di IPTS atau mereka tidak mendapat tempat di IPTA kini boleh mendapat maklumat lengkap dengan mudah seterusnya membuat pilihan institusi.

"Inisiatif ini juga merupakan bukti komitmen berterusan PKIBM dalam membantu kerajaan meningkatkan akses pelajar lepasan sekolah ke pendidikan tinggi khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang mendapat tempat di IPTA," katanya kepada GPSBestari.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa.

Dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik teknologi, Iklanika Sdn Bhd, portal MyUni menawarkan akses secara percuma kepada semua lepasan sekolah.

Portal ini juga merupakan hasil inovasi dan adaptasi norma baharu PKIBM dalam mendepani ketidaktentuan semasa serta cabaran pasca pandemik Covid-19.

Institusi pengajian tinggi (IPT) PKIBM yang terdiri daripada lima buah IPTS bertaraf universiti, 14 kolej universiti dan 31 kolej dari seluruh negara dengan kapasiti 150,000 tempat pengajian pula akan terus menunjukkan komitmen masing-masing dalam menawarkan program-program berkualiti tinggi, diiktiraf dan menepati keperluan pasaran pekerjaan.

Menurut Amir Hamzah lagi, portal MyUni memiliki keistimewaan tersendiri di mana ia boleh diakses di mana sahaja pada bila-bila masa sepanjang tahun sekali gus membolehkan lepasan sekolah mengakses semua kursus pengajian (diploma dan ijazah sarjana muda) yang ditawarkan oleh institusi yang mengambil bahagian dan mendapat maklumat mengenai sesi kemasukan setiap institusi.

Portal MyUni juga boleh diakses menggunakan telefon pintar.

Tambahnya lagi, semua IPTS yang menyertai MyUni merupakan IPT yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala program-program pengajian yang ditawarkan melalui sistem ini pula mendapat perakuan dan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Lepasan sekolah boleh memadankan keputusan peperiksaan SPM/ STPM, minat dan kecenderungan dengan program-program pengajian yang ditawarkan.

“Bagi memudahkan lepasan sekolah membuat keputusan secara menyeluruh dan tepat, mereka juga boleh menetapkan lokaliti sesebuah institusi selain mendapat maklumat yang jelas berhubung jumlah yuran dan tempoh masa pengajian,” ujar beliau.

Secara umumnya, kadar yuran pengajian yang dikenakan oleh IPT milikan usahawan Bumiputera PKIBM adalah berpatutan dan langsung tidak membebankan keluarga khususnya ibu bapa lepasan sekolah.

Berkongsi mengenai sistem yang baru diperkenalkan itu, Amir Hamzah menjelaskan MyUni secara automatik akan memadankan kursus-kursus pengajian yang bersesuaian dengan pilihan lokaliti institusi, minat atau kecenderungan dan keputusan peperiksaan pelajar.

Laman web MyUni yang dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik teknologi, Iklanika Sdn Bhd, menawarkan akses secara percuma kepada semua lepasan sekolah.

“Berdasarkan saringan itu, satu senarai lengkap program pengajian akan dipaparkan dan lepasan sekolah boleh memohon sehingga lima program pengajian.

“Semua permohonan yang direkodkan dalam sistem akan dihantar kepada institusi yang berkenaan dan sekiranya permohonan tersebut memenuhi syarat dan kelayakan, pihak institusi akan mengeluarkan surat tawaran melalui sistem MyUni seterusnya pelajar boleh mendaftarkan diri di kampus institusi pada masa yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Melalui portal ini juga, lepasan sekolah berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan pendidikan yang ditawarkan agensi-agensi kerajaan dan institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Sejak dibuka pada penghujung Mei lalu, portal ini telah dikunjungi kira-kira 13,000 pengunjung dan sebanyak lebih 500 lepasan SPM dan STPM telah mendaftar sebagai pengguna MyUni.

Sehingga kini, sebanyak 50 IPTS telah mengambil bahagian dalam MyUni dan jumlahnya dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok