Ahli PKIBM yang hadir terdiri daripada wakil IPTS Bumiputera dari seluruh negara
Ahli PKIBM yang hadir terdiri daripada wakil IPTS Bumiputera dari seluruh negara

PKIBM persatuan IPT pertama jadi tuan rumah sesi jelajah MQA

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
23 Feb 2023 04:26pm

Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) muncul persatuan pertama menjadi tuan rumah sesi jelajah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai dasar dan perkhidmatan badan tunggal jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.

Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa berkata, sesi itu menjadi platform MQA untuk mempromosi inisiatif pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang menjadi antara agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Institut pengajian tinggi (IPT) disaran mengetengahkan program dengan elemen PSH yang lebih fleksibel seperti Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan kursus pendek bersifat ‘micro-credentials’ selain menawarkan program berakreditasi kepada orang ramai.

"Sesi seumpama ini wajar dijadikan acara tahunan untuk mengekalkan momentum dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan IPT terutama yang membabitkan akreditasi program.

"Sebagai contoh, IPT digalakkan untuk menghantar pegawai ke program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education bagi memperkukuh sistem jaminan kualiti dalaman di IPT masing-masing," katanya pada Sesi Jelajah MQA bersama PKIBM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahli PKIBM yang hadir terdiri daripada wakil IPTS Bumiputera dari seluruh negara
Ahli PKIBM yang hadir terdiri daripada wakil IPTS Bumiputera dari seluruh negara

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa; Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti MQA, Muhamad Amran Zainal Abidin; Pengarah Bahagian Standard MQA, Kamarul Bakri Abd Aziz; Pengarah Bahagian Akreditasi (Kejuruteraan dan Teknologi) MQA, Nabisah K. Kunheen dan Ketua Unit MQA International, Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Sesi jelajah tersebut menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan IPT dalam konteks jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Sementara itu, Amir Hamzah dalam ucapannya berkata, PKIBM memanfaatkan sesi jelajah MQA sebaik-baiknya bagi mendepani cabaran baharu dalam landskap pendidikan tinggi.

Dia menjelaskan, pihaknya akan menyusun strategi hala tuju yang mampu melonjak kecemerlangan ahli PKIBM dengan input yang diperoleh daripada MQA,

"Sesi jelajah ini memberi maklumat sangat berguna kepada ahli PKIBM dalam menawarkan program terkini dan memenuhi keperluan industri bukan hanya demi survival institusi tetapi untuk menjadikan IPTS Bumiputera terus kekal relevan dan berdaya saing.

"Strategi ini penting kerana kami antara IPTS di negara ini yang menyumbang kira-kira RM31.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp