HomeBuletinPOLIMAS bersama alumni, rai pelajar berbuka puasa

POLIMAS bersama alumni, rai pelajar berbuka puasa

JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah bersama Persatuan Alumni POLIMAS meraikan 100 orang pelajar dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Pelajar Kolej Kediaman, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Dr Mhd Azmin Mat Seman berkata, majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa, alumni dan warga politeknik keseluruhannya.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pihak pengurusan dan alumni untuk mengenali pelajar dengan lebih dekat sekali gus menggalakkan semangat ukhwah dalam bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Salmiyah Che Ahmad.

Sementara itu, pelajar POLIMAS, Mohamad Haikal Mohd Sohaidi berkata, majlis berbuka puasa ini sesuatu yang menyeronokkan kerana sebelum ini kebanyakan mereka hanya berbuka sendirian di bilik masing-masing.

“Ia memberikan kenangan manis kepada pelajar selepas lebih dua tahun tidak dapat menyertai sebarang aktiviti sosial kerana kekangan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar POLIMAS, Awaluddin Sabarudin berkata, program berkenaan merupakan pengalaman pertama buat dirinya yang ternyata teruja apabila dapat berbuka beramai-ramai bersama warga politeknik itu.

“Menerusi program sebegini, pelajar-pelajar akan dapat saling mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain dan bertukar cerita ketika berbuka puasa puasa beramai-ramai,” kongsinya.

Sempena majlis itu juga, wakil Persatuan Alumni POLIMAS, Bismin Saari@Dahari yang juga Pengurus Afrianish Enterprise telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Pusat Islam POLIMAS.