Prasekolah di seluruh institusi KPM?
Bermula sesi persekolahan 2024/2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang mewujudkan kelas prasekolah di seluruh institusi bawah kementerian itu, termasuk kolej vokasional dan institut pendidikan guru (IPG).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan permintaan, keperluan dan keupayaan komitmen KPM.
“Hala tuju kita setakat ini akan memperluas prasekolah bawah institusi KPM.
“Prasekolah KPM ini percuma dan kita mahukan ibu bapa memilihnya.
“Sifat awal prasekolah ini bagi mengelakkan keciciran dan melakukan intervensi awal. Ia akan berlaku dengan pesat kerana kita akan mewajibkan di semua institusi KPM dan di semua 27 buah IPG,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Permata Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Sebanyak 129 kelas prasekolah ditambah di seluruh negara tahun ini dan menjadikan jumlah keseluruhannya 9,909 sekali gus memberi peluang lebih ramai murid mendapat pendidikan pada peringkat awal.