Untitled (29)
Untitled (29)

Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin dilantik Timbalan Naib Canselor JIAM, UKM yang baharu

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Sep 2021 05:01pm
A
A
A

BANGI - Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Jaringan Indsutri, Alumni & Masyarakat (JIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah yang telah tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos 2021.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata kesinambungan pertukaran tugas Timbalan Naib Canselor akan berterusan kerana sesiapa yang dilantik perlu memegang tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab universiti.

Menurut beliau, mereka yang dipilih mempunyai tanggungjawab dalam membawa UKM ke arah universiti watan yang menjadi pilihan rakyat dan hebat serta mempunyai nilai tinggi dalam apa juga tugas yang dilaksanakan.

“Saya percaya lantikan ini adalah amanah yang perlu dipikul dalam menjayakan misi untuk universiti melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebitaraan yang tinggi,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Tugas Timbalan Naib Canselor, semalam.

Berasal dari Pekan, Pahang, Prof Norazah memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Matematik) dari Florida State University, Amerika Syarikat (1985), sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana (Matematik) di California State University, Amerika Syarikat (1987).

Beliau juga memperoleh Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1989 dan melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran di UKM serta berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Sains Maklumat) pada tahun 2003.

Selain menjadi seorang pensyarah, beliau juga turut menyandang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Timbalan Dekan Akademik, Timbalan Dekan Siswazah, Timbalan Pengarah Teknologi dan Ketua Pasca Siswazah serta pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Malaysia (MEDC).

Kepakarannya bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Universiti untuk Hub Pembelajaran Sepanjang Hayat Asia-Europe Meeting (ASEM).

Beliau juga mengetuai Projek Ruang Pembelajaran Aktif Pengajian Tinggi (Higher Education Active Learning Spaces - HEALS) yang merupakan projek penyelidikan kolaboratif antara Universiti Penyelidikan Malaysia (UKM, UTM dan Universiti Malaya - UM) dengan Jaringan Universiti Inovatif Australia (La Trobe University dan James Cook University).

Selain itu, Prof Norazah turut mengetuai penyelidikan mengenai aplikasi Google Solution untuk pendidikan rakyat Malaysia.

Sebagai ahli International Association for Blended Learning (IABL) pula, beliau berjaya membangunkan kertas polisi pertama di dunia berkaitan pembelajaran teradun, iaitu IABL Dubai Declaration: Blended Learning 2025.

Kini, beliau adalah ahli Persatuan Penyelidikan Pendidikan Amerika (AERA) dan dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarang bagi Internet and Higher Education Journal, yang bertaraf Quartile One (Q1), dalam indeks Web of Science Social Science Citation Indeks (WoS SSCI).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok