asasi3
asasi3

Program Asasi Sains UMK lahir saintis muda minda keusahawanan

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Mar 2022 03:39pm
A
A
A

JELI - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersungguh-sungguh untuk melahirkan lebih ramai saintis berminda keusahawanan melalui penubuhan Program Asasi Sains UMK yang dahulunya dikenali sebagai program Persediaan Keusahawanan Sains.

Ketua Jabatan Persediaan Sains UMK, Fakulti Sains Bumi (FSB), Dr Marinah Muhammad berkata, universiti sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan bermula daripada pengajian peringkat sijil lagi supaya mereka semua terdedah dengan ekosistem dunia perniagaan lebih awal berbanding para pelajar peringkat ijazah sarjana muda.

Beliau berkata, pendekatan ini akan memberi nilai tambah kepada mereka yang memilih UMK sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sepanjang tempoh penawaran program Asasi Sains UMK sejak tahun 2011 hingga 2019 (di Kolej Matrikulasi, Kulim), universiti ini telah melahirkan sembilan kohort pelajar dengan jumlah keseluruhan 565 orang yang memperoleh tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sepenuhnya.

“Pada tahun 2021, buat pertama kalinya program Asasi Sains telah ditawarkan di UMK Kampus Jeli yang mana permohonannya adalah menerusi UPU online”.

“Program Asasi Sains UMK merupakan program unik yang mampu melahirkan bakal pelajar yang berpengetahuan dalam bidang sains serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang keusahawanan dengan penguasaan bahasa asing yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Live Lecture : EmiretusProf@ASASI siri pertama yang disampaikan oleh Pengasas Program Asasi Sains UMK iaitu Profesor Emiratus Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Dalam siri kuliah itu, Ibrahim turut berkongsi ilmu dan pengalaman tentang Bioteknologi dan Bioperniagaan yang merupakan satu topik dalam kursus Biologi Gunaan bagi pelajar Asasi Sains UMK.

Topik yang disampaikan oleh Ibrahim berjaya mencuri perhatian pelajar kerana cara penyampaian beliau yang menarik dan mudah difahami walaupun ia agak berat serta berlangsung dalam tempoh dua jam.

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar Asasi Sains yang memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok