Program CQA bantu persiap pegawai jaminan kualiti di IPT
Program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (CQA) berjaya mempersiap pegawai jaminan kualiti di institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk membantu institusi masing-masing dalam menyediakan program pengajian yang dinamik, lestari dan relevan.
Ketua Penolong Pengarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia, Mohd Zakhiry Ab Rahman berkata, program itu bukan sekadar latihan tetapi memberi pengalaman pembelajaran menyeluruh yang melengkapkan dirinya untuk melaksanakan tanggungjawab lebih baik dan membawa perubahan positif dalam dunia pendidikan tinggi terutama di institusi tempat beliau berkhidmat.
Katanya, program anjuran Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC) itu memberinya kemahiran teknikal dan keyakinan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas sebagai pegawai jaminan kualiti dengan lebih berkesan.
"Setiap tier telah mengasah kecekapan dalam pelbagai aspek, dari pemahaman mendalam tentang Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE), kemahiran pengauditan, hingga wawasan antarabangsa yang luas di peringkat serantau.
"Tambahan pula, dokumen dan garis panduan seperti Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) dan Garis Panduan Amalan Baik (GGP) yang diperincikan dalam program ini sangat berguna untuk memahami kerangka jaminan kualiti di Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi program CQA MQA 2024, baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Adib Abd Rahman itu menyaksikan seramai 59 graduan program CQA 2024 menerima sijil masing-masing.
Hadir sama, Ahli Majlis MQA, Profesor Datin Paduka Dr Samsinar Md Sinin dan Datuk Peter Ng Tong Se; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa serta Pengarah MQATC, Abdul Saman Taip.
Bagi Profesor Madya di Universiti Sains Malaysia (USM), Ir Ts Dr Parvathy Rajendran, program CQA membantunya memahami tanggungjawab kerja saya dengan lebih baik melalui penyediaan rangka kerja yang jelas dan sistematik untuk jaminan kualiti.
Katanya, CQA memberikan teknik yang diperlukan untuk menilai dan memperbaiki proses serta output organisasi.
"Program ini menekankan kepentingan mematuhi piawaian dan prosedur yang ditetapkan dan yang penting untuk memastikan konsistensi dan kebolehpercayaan dalam penyampaian perkhidmatan," katanya.
Pengarah Strategi dan Jamianan Kualiti Universiti Multimedia (MMU), Profesor Dr Gerald Goh Guan Gan berkata, program CQA ialah inisiatif yang amat baik kerana telah dibangunkan dengan berpaksikan konteks pendidikan tinggi Malaysia dan MQF.
Tambahan pula katanya, susun atur semua tahap program itu adalah teratur dan progresif serta berjaya mengembleng kepakaran jaminan kualiti dari MQA serta panel-panel yang berpengalaman.
"Program ini membolehkan saya mendalami aspek penting bagi memastikan proses jaminan kualiti dalaman yang efektif dapat dipraktikkan di IPT, terutama yang berstatus swaakreditasi," katanya.
Dalam ucapannya, Mohd Adib berkata, graduan CQA adalah duta jaminan kualiti yang bakal memainkan peranan penting dalam memartabatkan pendidikan tinggi di negara ini.
Beliau berkata, mereka bukan sekadar lulusan program CQA, tetapi pemimpin masa depan yang mampu membawa perubahan dalam penambahbaikan jaminan kualiti di institusi masing-masing.
"Diharap mereka (graduan CQA) sentiasa bersemangat untuk meningkatkan nilai pendidikan, menjadi pemacu dalam pengukuhan kualiti di institusi pendidikan dan membawa pendidikan tinggi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, tahun ini MQATC berjaya membangunkan modul baharu yang dikenali sebagai International Quality Assurance Professional Programme (IQAP) untuk melatih pegawai jaminan kualiti dari luar negara.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan, program CQA telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dan tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 233 peserta, meningkat lebih 100 peratus berbanding 112 peserta pada tahun lalu.
Hal itu, katanya, membuktikan komitmen yang tinggi IPT untuk meningkatkan kefahaman dan kepakaran dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi serta keberkesanan program ini dalam memenuhi keperluan sektor pendidikan tinggi negara.
"Sebagai badan jaminan kualiti utama negara, MQA juga sentiasa berusaha menjadi teladan dalam kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, justeru untuk sekian kalinya pada tahun 2024, MQA berjaya mengekalkan persijilan LSP 29993:2017 khusus bagi pengendalian program ini.
"Menjelang tahun 2030, MQA menyasarkan untuk melahirkan 200 graduan CQA bagi menyokong pelaksanaan jaminan kualiti di IPT di seluruh negara dan setakat ini, seramai 101 graduan berjaya ditauliahkan iaitu kira-kira separuh daripada sasaran yang ditetapkan.
"MQA juga akan menawarkan program IQAP kepada negara-negara di Asia Barat, Asia Tengah, benua Afrika serta negara pascaperang bagi melatih pegawai jaminan kualiti mereka dan inisiatif ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia hab Pendidikan global," katanya.