WhatsApp Image 2021-07-13 at 17.03.14 (3)
WhatsApp Image 2021-07-13 at 17.03.14 (3)

Program Microsoft Innovative Teachers dilancarkan demi melahirkan guru berintegriti

A
A
A

Status negara yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi perubahan baru kepada landskap pendidikan di negara ini.

Penularan virus Covid-19 telah memberi impak kepada proses pembelajaran apabila semua sekolah terpaksa ditutup.

Proses pembelajaran yang dahulunya berlaku secara bersemuka, kini telah berubah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perubahan yang mendadak ini sudah pasti memberi kejutan kepada pelajar-pelajar apabila tidak semua mampu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Keadaan ini telah memaksa guru untuk bertindak lebih proaktif dalam memastikan keberkesanan proses pembelajaran.

Susulan isu ini, Universiti Malaya (UM) dan Fedelis Sdn. Bhd (Microsoft in Education Global Training Partner), Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Petaling Utama telah menjalinkan kerjasama dengan melancarkan Program Microsoft Innovative Teachers: Train the Trainers dalam usaha memantapkan lagi proses PdPR.

Program ini turut mendapat sokongan dan tajaan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMcares), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak UM sendiri.

Melibatkan 214 orang guru dari 11 buah sekolah rendah dan sembilan buah sekolah menengah, kawasan Bangsar dan Petaling Utama, program ini bertujuan melatih dan melahirkan tenaga pengajar yang berkemahiran dan cekap dalam menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) TTDI 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Segar, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Kwo, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Choong Wen, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (T) Jalan Bangsar.

Kewujudan program ini telah memberi idea kepada guru-guru dalam menguasai teknologi Microsoft 365 Education selain penggunaan Google Classroom yang dijadikan medium pembelajaran sebelum ini.

Menurut, Pensyarah Fakulti Pendidikan, UM, Dr Donnie Adams Paramasivam, program ini pertama kali diadakan bagi memperkasa proses pembelajaran yang berlaku secara dalam talian.

Tambah beliau, dengan adanya program ini, guru-guru akan dilatih sehingga mahir dalam penggunaan Microsoft 365 Education.

“Latihan yang diadakan secara dalam talian ini terbahagi kepada dua fasa di mana fasa pertama, latihan yang diketuai oleh empat orang Master Trainer.

“Mereka akan melatih 20 orang guru di mana setiap daripadanya mewakili setiap sekolah yang terlibat dan setelah melepasi fasa pertama, guru-guru yang berjaya akan ke fasa kedua.

“Dalam program ini, seramai 10 orang guru telah berjaya melengkapkan latihan fasa pertama dan guru-guru ini telah diberi sijil dan diperakui sebagai Microsoft Innovative Educator Teacher Trainer,” ujarnya.

Pada fasa kedua, 10 orang guru yang berjaya ini akan melatih 214 orang guru yang lain dan program ini telah mendapat maklum balas positif.

Untuk itu seramai 10 Microsoft Innovative Teacher Trainer akan dihantar ke sekolah-sekolah yang terlibat bagi membantu tenaga pengajar dari segi aspek teknikal dan pengintegrasian e-learning sepanjang PdPR dijalankan.

Donnie Adams berharap, program yang dilaksanakan ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus membantu para guru dalam usaha membentuk modal insan yang unggul.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok