Pulanglah graduan Sabah, tingkatkan tenaga industri minyak dan gas!
Universiti Teknologi Petronas (UTP) memandang serius isu kekurangan sumber tenaga dalam industri minyak dan gas di saat Sabah sedang membangun untuk menjadi hab bagi industri itu.
Naib Canselor UTP, Profesor Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, sebagai sebuah universiti yang melahirkan graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, beliau mahu memastikan graduan dari UTP dapat kembali ke negeri ini untuk menyumbang dan seterusnya membangunkan industri berkenaan di negeri mereka sendiri.
"Kami melihat secara serius bagaimana UTP dapat menyokong pembangunan sumber manusia kerana negeri ini sedang membangun untuk menjadi hab minyak dan gas serta potensi lain yang akan masuk ke Sabah.
"Saya rasa ada pengakuan bahawa Sabah kekurangan dari segi tenaga sumber manusia dan ia antara cara atau peluang untuk institusi di seluruh negara memberikan kemahiran serta pengetahun mereka bagi menaikkan industri itu di negeri ini.
"UTP ingin menyumbang kepada usaha melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran serta berkebolehan untuk Sabah. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada kerajaan negeri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program UTP bersama media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Katanya lagi, setiap tahun UTP menerima tidak lebih 50 pelajar dari Sabah dan diharap lebih ramai graduan akan kembali bagi memenuhi keperluan tenaga manusia di negeri ini.
"Kita lihat banyak potensi disediakan oleh kerajaan Sabah dan sudah tentu mereka diperlukan untuk berbakti serta membantu menaikkan industri ini.
"Walaupun buat masa ini tiada statistik alumni yang kembali ke Sabah tetapi tidak ramai yang pulang ke Sabah sebenarnya. Jadi kita merayu dengan minta mereka kembali berkhidmat di sini," katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Ibrahim berkata, Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2024 yang julung kali diadakan selama dua hari di SICC antara usaha yang dilaksanakan UTP.
"Sasaran kita adalah daripada pemain industi dan pelajar supaya mereka melihat potensi atau peluang kerjaya dalam bidang tersebut di Sabah," katanya.