Rakyat tidak perlu bimbang kemasukan pelarian Rohingya ke IPT, hanya yang layak sahaja diterima – Khaled Nordin
Sebagai sebuah negara yang mempunyai dan menerima ramai pelajar antarabangsa bagi menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan, Malaysia turut terbuka menerima pelajar pelarian Rohingya.
Namun begitu, rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dan bimbang dengan kemasukan pelarian ini bagi melanjutkan pengajian memandangkan ia bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kelayakan dengan tempat yang terhad.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kemasukan pelajar ke universiti bukan seperti berniaga di tepi jalan yang boleh dilakukan oleh semua orang.
Justeru katanya, persepsi masyarakat tentang isu peluang pendidikan kepada pelarian Rohingya ini perlu diperbetulkan dan diharap dengan kesempatan menyambung pengajian dapat mendidik dan membentuk masyarakat mereka supaya tidak menimbulkan masalah.
“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita ini menjadikan mereka manusia (berguna) dan mereka semua beragama Islam, kalau mereka balik pastinya akan dibunuh.
“Jadi kalau kita dapat bantu mereka berjaya, mereka boleh betulkan masyarakat mereka. Kalau kita tidak mulakan, mereka akan timbulkan masalah pada kita.
“Tidak ramai pun, (hanya) kalau mereka layak. Bukan kita pergi ambil semua masuk universiti. Habislah jika begitu, prestasi saya pun terjejas,” katanya seperti dipetik portal tempatan semasa sesi lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.
Sebelum ini, penasihat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Profesor Emeritus Morshidi Sirat berkata, pelarian Rohinya yang ingin menyambung pengajian ke peringkat tinggi akan ditempatkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan dana Qatar untuk pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).