Masyarakat semakin cenderung melihat lebih ramai golongan profesional dan cendekiawan dalam kalangan menghafaz al-Quran. Gambar kecil: Ab Halim
Masyarakat semakin cenderung melihat lebih ramai golongan profesional dan cendekiawan dalam kalangan menghafaz al-Quran. Gambar kecil: Ab Halim

Ramai mula sedar hantar anak ke sekolah agama, tahfiz

NORAFIZA JAAFARNORAFIZA JAAFAR
01 Jul 2024 02:51pm

Semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama atau Sekolah Tahfiz kebelakangan ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, ia susulan ramai mulai sedar subjek agama menjadi satu nilai tambah signifikan kepada sektor pendidikan di semua peringkat dan melahirkan pelajar yang cemerlang.

Menurutnya, masyarakat kini juga semakin cenderung melihat lebih ramai golongan profesional dan cendekiawan dalam kalangan menghafaz al-Quran yang diyakini dapat membawa nilai tinggi sumber manusia kepada negara.

"Prestasi akademik yang lebih cemerlang, khususnya dalam pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbanding pelajar-pelajar dari aliran yang lain pada dua dekad terakhir ini membuktikan bahawa institusi agama/tahfiz adalah merupakan jalur terbaik dalam membina kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

"Bahkan gabungan subjek antara tahfiz dan sains juga dilihat telah berjaya mencapai tahap dan prestijnya yang tersendiri dalam beberapa model di negara kita seperti penggabungan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), program TVET dan pembelajaran bahasa ketiga seperti Jerman, Jepun, Perancis, Mandarin dan Arab dalam pengajian mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor berkata, sekarang masa tepat agama dan tahfiz dikembangkan secara meluas agar pendidikan bersepadu dapat dilaksanakan pada semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha menjadikan Islam sebagai teras kepada pembangunan tamadun negara dan dunia secara amnya, institusi agama/tahfiz adalah potensi kecemerlangan yang terbaik untuk dihidangkan kepada murid- murid di negara kita pada waktu ini.

"Saya amat berharap momentum dan pencapaian institusi agama/tahfiz yang sedang memuncak ini diberikan perhatian oleh pelbagai pihak yang berkepentingan di peringkat Persekutuan dan negeri, sekolah swasta, pihak Industri, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan masyarakat seluruhnya agar sistem pendidikan Malaysia akan dapat dibangunkan secara lebih holistik," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp