Sakaguchi (kiri) dan Kitagawa menerima Hadiah Nobel di Stockholm. - Gambar: Reuters
Sakaguchi (kiri) dan Kitagawa menerima Hadiah Nobel di Stockholm. - Gambar: Reuters

Saintis Jepun Sakaguchi & Kitagawa terima anugerah Nobel di Stockholm

11 Dec 2025 10:59pm

Dua Saintis Jepun, Shimon Sakaguchi dan Susumu Kitagawa menerima Hadiah Nobel di Stockholm atas pencapaian masing-masing dalam bidang Perubatan dan Kimia, lapor Kyodo News.

Raja Sweden Carl XVI Gustaf menyampaikan pingat emas dan diploma kepada Sakaguchi, profesor terkemuka berusia 74 tahun dari Universiti Osaka dan Kitagawa, profesor terkemuka berusia 74 tahun dari Universiti Kyoto, dalam majlis penyampaian anugerah di Stockholm Concert Hall.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 10 tahun penyelidik Jepun menerima Hadiah Nobel dalam dua bidang berbeza pada tahun yang sama.

Sakaguchi, penerima Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan, diiktiraf kerana menemui sel T pengawal (regulatory T cells atau Tregs) yang menghalang sel T lain daripada menyerang sel sihat tubuh, sekali gus membuka laluan kepada rawatan baharu bagi penyakit autoimun, kanser dan pelbagai penyakit lain.

Kitagawa pula menerima Hadiah Nobel Kimia atas pembangunan bahan berliang yang dikenali sebagai rangka logam-organik (metal-organic frameworks), yang mampu menyimpan dan melepaskan gas seperti metana dan nitrogen.

"Ini satu penghormatan yang sangat besar dan hari ini menjadi detik istimewa dalam hidup saya," kata Sakaguchi kepada wartawan selepas majlis.

Setiap Hadiah Nobel disertakan ganjaran sebanyak 11 juta kronor (US$1.2 juta).

Kedua-duanya berkongsi anugerah dengan dua lagi penyelidik dalam bidang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dengan itu, Jepun kini mempunyai 31 penerima Hadiah Nobel, termasuk Nihon Hidankyo, kumpulan utama mangsa terselamat bom atom di Jepun yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Dua saintis Jepun, Shimon Sakaguchi dan Susumu Kitagawa menerima Hadiah Nobel dalam bidang perubatan dan kimia
  • Raja Sweden Carl XVI Gustaf menyampaikan anugerah kepada kedua-dua saintis tersebut di Stockholm Concert Hall
  • Ini kali pertama dalam 10 tahun penyelidik Jepun menerima Hadiah Nobel dalam dua bidang berbeza serentak
  • Sakaguchi diiktiraf kerana penemuannya mengenai sel T pengawal yang boleh membantu dalam rawatan penyakit autoimun dan kanser
  • Kitagawa dianugerahkan atas pembangunannya dalam rangka logam-organik untuk penyimpanan dan pelepasan gas
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp