
SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor terima Anugerah Penyertaan Terbanyak di IDECS25
Komitmen luar biasa dalam meneroka dunia kreativiti digital membuahkan hasil apabila SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyertaan Terbanyak pada Galeri Seni Digital IDECS25 (DAG25) sempena pameran ‘AI Artventure’.
Pameran yang berlangsung selama lima hari itu mencatatkan penyertaan memberangsangkan dengan lebih 6,200 karya seni berasaskan AI dihantar oleh orang ramai, pelajar sekolah, keluarga serta peminat seni dari seluruh Sarawak.
Jumlah itu sekali gus menjadikannya antara penglibatan komuniti terbesar dalam bidang kreativiti digital di rantau ini.
Sepanjang tempoh pameran dilaksanakan, kehadiran pengunjung kekal tinggi apabila kanak-kanak, keluarga dan pencinta seni tidak melepaskan peluang meneroka skrin digital interaktif, mencuba alatan AI mudah guna serta menyelami bagaimana teknologi membentuk masa depan dunia seni.
Bukan itu sahaja, pameran ini turut menerima kunjungan beberapa sekolah tempatan sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka alatan AI interaktif.

Mereka juga dapat melihat bahawa teknologi mampu memperkaya proses pembelajaran kreatif mereka di dalam dan di luar bilik darjah.
Lebih membanggakan, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor tampil sebagai antara sorotan utama dengan menghantar sebanyak 1,285 karya seni paling banyak dalam pameran tersebut.
Atas pencapaian itu, sekolah berkenaan menerima Anugerah Penyertaan Terbanyak berserta iBoard 65” sebagai penghargaan.
Pengiktirafan ini menggambarkan komitmen berterusan sekolah dalam memupuk keyakinan dan kemahiran digital dalam kalangan pelajar.
Ketua Sekretariat IDECS25, Amirrul Rizwan Mohd Abd Hafiz berkata, penghasilan seni menggunakan AI merupakan langkah awal yang mudah dan inklusif untuk masyarakat memahami teknologi kecerdasan buatan.
“Ia memberi ruang kepada komuniti untuk berkarya sambil mempelajari cara AI berfikir dan bertindak balas.
“Pendedahan awal seperti ini membantu membina keyakinan dan menyediakan mereka untuk menggunakan teknologi AI yang lebih kompleks pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai salah satu program komuniti utama di bawah International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS25), DAG25 menyokong aspirasi Sarawak untuk membina masyarakat yang yakin, mahir dan bersedia merebut peluang ekonomi digital masa depan.
Pendedahan langsung kepada penggunaan alatan AI ini selaras dengan Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 bagi memastikan kreativiti, inovasi serta kesiapsiagaan digital berkembang seiring di seluruh negeri.
Kejayaan SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah menjadi bukti bahawa pendidikan dan teknologi mampu bergerak seiring.
Ringkasan AI
- SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyertaan Terbanyak pada Galeri Seni Digital IDECS25
- Pameran tersebut mencatat lebih 6,200 karya seni berasaskan AI dari seluruh Sarawak
- Pameran berlangsung selama lima hari dan menarik kanak-kanak, keluarga, serta pencinta seni
- SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor menghantar 1,285 karya seni, paling banyak dalam pameran tersebut
- Penghasilan seni menggunakan AI dilihat sebagai langkah awal untuk memahami teknologi kecerdasan buatan
