HomeBuletinSaintis tersohor tarik minat pelajar pilih bidang STEM

Saintis tersohor tarik minat pelajar pilih bidang STEM

PAUH PUTRA – Bagi memastikan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu menarik pelajar sekolah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan International STEM & Innovation Colloquia Series (ISICS), baru-baru ini.

Pengerusi ISICS, Dr Mohamad Nazri Abdul Halif, berkata program itu mengambil masa dua bulan bagi setiap satu siri penganjuran dan mempunyai kelainan berbanding aktiviti STEM yang lain kerana ia membawa saintis tersohor bertaraf Pemenang Hadiah Nobel serta ahli teknologi yang mempunyai impak yang besar kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda.

Katanya, sebagai penganjur UniMAP turut berharap bahawa siri ISICS ini akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat serta pelajar berkenaan STEM dan inovasi.

“Siri-siri berikutnya akan menampilkan beberapa saintis tersohor dunia seperti Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2001, Prof Carl Wieman; Pemenang Hadiah Nobel Fizik 1997, Prof William Phillips dan Saintis NASA yang terlibat dalam pembangunan Teleskop Angkasa James Webb, Dr Hashima Hasan serta beberapa saintis dan ahli teknologi yang lain.

“Maklumat terkini berkenaan Siri ISICS akan datang akan dimaklumkan dalam laman web rasmi ISICS serta di Facebook rasmi UniMAP dan Instagram UniMAP,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli menzahirkan penghargaan terhadap pembabitan UniMAP dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan melaksanakan program ISICS sebagai platform untuk meningkatkan minat serta motivasi pelajar terhadap bidang STEM.

“Siri ISICS ini adalah perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang STEM oleh ahli sains dan teknologi tersohor luar negara dan terbuka kepada semua masyarakat yang mana fokus utama adalah kepada pelajar sekolah dan universiti.

“Sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan, adalah menjadi tanggungjawab UniMAP melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai pelajar meminati serta memilih bidang ini sebagai aliran ke universiti,” katanya ketika berucap melancarkan ISICS 2021 sempena sambutan 20 tahun penubuhan UniMAP yang berlangsung secara dalam talian.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rizalafande Che Ismail; Hashima dan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Zuherly Zolkapali.

Program kerjasama UniMAP dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), National STEM Association (NSA), Akademi Sains Malaysia (ASM), Kelab STEM UniMAP, JPN Kedah dan Perlis itu berjaya menarik penyertaan 8,000 pelajar sekolah seluruh negara.

Tambah Prof Zaliman, sebagai sebuah universiti yang berteraskan kepada elemen STEM, UniMAP merasakan amat perlu untuk meningkatkan motivasi dan minat pelajar sekolah terhadap STEM.

“Ini kerana penurunan bilangan pelajar sekolah dalam aliran STEM akan turut menjejaskan kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang sekali gus memberi kesan kepada penghasilan modal insan negara dalam bidang STEM,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Remote Sensing dari Boston University, Prof Dr Farouk El-Baz menyifatkan Malaysia adalah model terbaik untuk rujukan negara-negara Islam dan negara membangun dalam sistem pendidikan.

Menurut beliau, pengalaman pertama kali melawat Malaysia ialah sekitar tahun 70an atas jemputan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan Sains dan Teknologi di Malaysia.

“Saya berpendapat Malaysia telah berjaya membangunkan sistem pendidikannya ke tahap yang terbaik.

“Model pendidikan Malaysia sering kali menjadi bahan utama dalam ceramah saya kepada negara-negara Arab,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Reasons for the success of the Apollo mission’ pada program ISICS.