“Sokong supaya menjadi iktibar untuk pelajar lain. Budaya buli jangan dibiasakan.” - Kredit foto: Internet
“Sokong supaya menjadi iktibar untuk pelajar lain. Budaya buli jangan dibiasakan.” - Kredit foto: Internet

Sampai bila kes buli akan berakhir?

ROSHLAWATY MD RAIEH
22 May 2023 12:34pm
A
A
A

Kes buli nampaknya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Belum pun reda dengan kejadian buli yang membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Kuala Lumpur dan sekumpulan pelajar dari Sibu, Sabah minggu lalu, sekarang timbul pula kes buli melibatkan beberapa pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Allahuakbar!

Memetik portal tempatan, seramai lima pelajar Tingkatan Lima MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang telah membuli seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan pada Khamis.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada pukul 11 malam itu terjadi di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan di mana mangsa telah dipukul atas alasan lambat turun solat Subuh.

Akibat daripada itu, mangsa mengalami luka kecil di badan setelah dipukul sekumpulan pelajar terbabit menggunakan kaki serta tangan sebelum dia memaklumkan perkara berkenaan kepada bapanya pada keesokan hari.

Rentetan laporan tersebut, kesemua pelajar MRSM Balik Pulau telah ditahan bagi membantu siasatan kes buli berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan penahanan dibuat pada hari sama, sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.

Bagaimanapun, semua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, siasatan polis mendapati kelima-lima suspek turut membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama, antara pukul 11 malam hingga 12.30 tengah malam, di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di Blok B.

"Namun, tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Sinar Bestari memetik sedikit kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memuat naik hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dan memandang enteng sebarang insiden buli atau kes pukul yang berlaku di mana-mana MRSM.

“Pelajar yang terbabit boleh dikenakan tindakan pemberhentian daripada meneruskan pengajian di MRSM,” tulis beliau.

Menerusi kenyataan dikongsi Asyraf Wajdi, ramai warga maya memberi pandangan mereka berkenaan isu buli tersebut.

“Betul MRSM bukan tempat untuk jadi samseng. Elok berhentikan, ramai lagi yang nak masuk MRSM tapi tidak dapat dan tidak berpeluang. Dah dapat belajar di MRSM belajar betul-betul. Bersyukurlah dapat masuk. Bukan senang nak dapat.”

“Warden adalah sebagai ibu dan bapa mereka yang akan menjadi orang terakhir memerhatikan pelajar di asrama. Jika warden tegas memantau dan ada sistem giliran 24 jam, insya-ALLAH boleh cegah daripada berlaku kes buli.”

“Setuju sangat Dr. MRSM perlu dijadikan pusat pendidikan contoh anak bangsa.”

“Sokong supaya menjadi iktibar untuk pelajar lain. Budaya buli jangan dibiasakan.”

“Adakah warden dan pihak pentadbiran asrama telah memainkan peranan yang sewajarnya?

“Setuju Dr dan bukan sekadar buli fizikal sahaja tetapi buli mental juga perlu diambil kira dan dibanteras. Anak-anak perlu sentiasa diterapkan dan dipupuk semangat setiakawan, sayangkan persahabatan, saling bantu membantu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.”

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok