HomeBuletinSamuel Isaiah cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama terima anugerah TRT World Citizen...

Samuel Isaiah cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama terima anugerah TRT World Citizen Educator Award

Pengarah Program Pemimpin GSL, Samuel Isaiah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menerima TRT World Citizen Educator Award untuk tahun 2020 atas jasa dan sumbangannya dalam memartabatkan kualiti pendidikan negara.

Beliau yang merupakan bekas pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang, telah menerima anugerah tersebut pada majlis TRT World Citizen Award yang diadakan di Istanbul, Turkiye, baru-baru ini.

Acara tahunan yang dianjurkan oleh Turkish Radio and Television Corporation (TRT) ini mengiktiraf individu yang telah berbakti dalam pelbagai bidang di peringkat global.

Samuel Isaiah (kanan) bersama Bbarisan penerima anugerah TRT World Citizen Award.

Menurut Samuel, dia menyeru semua kerajaan dari serata dunia untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam memartabatkan para pendidik dan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

“Dalam era pasca pandemik ini, kelemahan sistem pendidikan telah memberi kesan kepada banyak negara.

“Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih giat dalam memberikan ganjaran dan menyediakan autonomi serta platform untuk para pendidik supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Beri kepercayaan kepada guru-guru dan lihat hasilnya menerusi pencapaian para pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Samuel mendedikasikan anugerah yang diterimanya itu buat seluruh warga pendidik yang tidak kenal erti penat lelah dalam membantu pelajar.

Jelasnya, setiap usaha kecil mahupun besar yang dihulurkan kepada pelajar oleh guru-guru adalah sesuatu yang tidak ternilai.

Samuel Isaiah ketika ditemui pemberita.

Julai dan Ogos lalu, Samuel telah menerima Anugerah Belia Diraja dan Anugerah Harapan Merdeka.

Bukan itu sahaja, beliau turut dinamakan Asia’s Most Influential in Education by Tatler pada tahun ini.

Pada tahun 2020, Samuel menjadi rakyat Malaysia pertama tersenarai 10 finalis untuk Global Teacher Prize.

Di samping itu, anak kelahiran Kuantan, Pahang, itu bertekad untuk menjadikan semua pengiktirafan yang diterima sebagai pemangkin bagi meneruskan usaha memartabatkan profesion pendidik.

“Saya sentiasa berasa rendah diri dengan anugerah ini dan saya akan menggunakannya untuk berkhidmat kepada negara dan diharapkan ia dapat memberi laluan kepada pendidik lain di Malaysia untuk turut diiktiraf atas usaha mereka,” tambahnya.

Artikel berkaitan

Cikgu Sam lambang penyatuan, didik anak murid orang asli tanpa putus asa

“Jangan hancurkan jiwa pendidik para guru” – Samuel Isaiah

Penyelidik perkenal sistem penapisan air, bantu Orang Asli dapatkan bekalan air bersih


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok