Samuel-Isaiah-scaled
Samuel-Isaiah-scaled

“Jangan hancurkan jiwa pendidik para guru” - Samuel Isaiah

Adlan Farhan Azwan
17 Oct 2022 06:21pm
A
A
A

Jurang besar yang terdapat dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar pendidikan akan memberi kesan terhadap keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

Menurut Pengarah Program Pemimpin GSL, Samuel Isaiah, apabila sesuatu dasar ditentukan di peringkat tertinggi dan kemudiannya dilaksanakan, pemahaman, penterjemahan dan pelaksanaan dasar itu berubah sama sekali kerana sesuatu yang dipanggil ‘broken links in the chain’.

“Bagi mengatasi jurang ini, penglibatan pelbagai pemegang taruh iaitu golongan guru adalah penting melalui sesi soal jawab dan bengkel libat urus.

“Namun, kebiasaannya, proses libat urus ini akan berlaku selepas suatu dasar dicadangkan, secara ‘one-off’ dan hanya berfungsi sebagai pelengkap atau cukup syarat.

“Ketika ini, guru masih tertakluk kepada syarat perkhidmatan dan jarang dibenarkan untuk memberi pendapat yang jujur kerana bimbang tindakan yang akan dihadapi,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Hantaran yang dibuat adalah rentetan daripada kes Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh yang mendakwa dirinya bakal dikenakan tindakan dipecat atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan isu berkaitan sistem pendidikan negara.

Beliau yang merupakan seorang bekas guru cemerlang sehingga berjaya tercalon sebagai 10 finalis Global Teacher Prize 2020 atas jasa dan bakti beliau dalam mendidik anak-anak orang asli memaklumkan, sistem pendidikan sedia ada sering melupakan perkara penting dalam pembentukan dasar pendidikan iaitu keberhasilan PdP dalam bilik darjah.

Katanya, sekiranya input guru tidak diberikan kepentingan tertinggi, adalah mustahil untuk mengetahui keadaan sebenar di bilik darjah.

“Kurangnya penglibatan guru dalam pembuatan dasar turut menyebabkan tiada penghayatan terhadap dasar itu yang akan mengakibatkan guru terasa asing daripada sesuatu dasar dan mereka tidak mengetahui mengapa dasar itu diperkenalkan.

“Kesannya, keberkesanan dan kelestarian dasar yang digubal akan terancam dan terus diaplikasikan oleh para guru tanpa sebarang tujuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Samuel turut percaya guru perlu diberi peluang memimpin sekiranya ingin melihat penambahbaikan kepada sistem pendidikan negara.

“Pembuatan dasar harus dilaksanakan bersama guru dan bukan semata-mata untuk guru kerana ia secara tidak langsung akan mewujudkan ‘sense of ownership and purpose’ yang menjadi penentu kepada keberkesanan dasar.

“Laluan komunikasi yang jelas, berstruktur dan berterusan juga harus diwujudkan supaya guru dapat memahami, menghayati dasar, memberikan input sepanjang pelaksanaan dasar berkenaan.

“Guru-guru tidak mahukan pengiktirafan atau ganjaran, mereka cuma mahukan yang terbaik untuk anak-anak murid mereka. Jangan pinggirkan guru, jangan kekang suara dan hancurkan jiwa pendidik mereka,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Cikgu Mohd Fadli belum dijatuhkan hukuman - KP Pendidikan

Mohd Radzi mahu jumpa Cikgu Mohd Fadli

“Jangan bagi staf kita gementar”, kaedah pentadbir berperanan besar jadikan guru selesa semasa pencerapan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok