Kematian tragis Zara Qairina yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, mengundang kejutan ramai pihak.
Kematian tragis Zara Qairina yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, mengundang kejutan ramai pihak.

'Saya sudah bersara, tiada kaitan kes kematian Zara Qairina' - Bekas Pengetua

29 Jul 2025 11:06pm

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Sabah, Datin Rosnih Nasir menafikan sebarang pembabitannya dalam insiden kematian seorang pelajar perempuan yang terjatuh dari bangunan asrama sekolah itu baru-baru ini.

Rosnih dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa berkata, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan susulan fitnah dan kekeliruan yang tular di media sosial yang dikaitkan terhadap dirinya berhubung kejadian melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

"Untuk makluman semua, saya hanya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Limauan dari 20 Mac hingga 22 November 2024.

"Selepas itu, saya telah bersara dan tidak lagi terlibat dalam pentadbiran sekolah berkenaan. Maka, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan saya secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa tragik yang berlaku baru-baru ini. Perkara ini amat menyedihkan saya sebagai ibu dan juga sebagai seorang pendidik," katanya.

Rosnih dalam kenyataannya turut menyatakan sokongan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh berhubung kes ini.

"Saya percaya kebenaran akan terserlah apabila siasatan selesai," katanya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan semoga roh pelajar itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarganya diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

Rosnih turut menyertakan tanda pagar #justiceforzara pada akhir kenyataannya sebagai solidariti terhadap mangsa.

Artikel Berkaitan:

Zara Qairina sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Kematian Zara Qairina mula mendapat perhatian susulan dakwaan kejadian itu dikaitkan dengan salah laku buli dan desakan dibuat oleh orang ramai dan warga maya supaya siasatan dilakukan dengan telus. 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp