Sejarah asal-usul tulisan jawi
Sejarah asal-usul tulisan jawi

Sejarah asal-usul tulisan jawi

webadmin
18 Apr 2022 12:58pm
A
A
A

Mungkin masih ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui dengan lebih mendalam tentang asal usul tulisan jawi.

Tulisan jawi merupakan tulisan huruf-huruf Arab yang digunakan di kepulauan Melayu dan ia dilihat sebagai tulisan yang sangat penting untuk dipelajari kerana tulisan ini adalah salah satu medium yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Islam di alam Melayu.

Menurut sejarah, tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad ke-10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu.

Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu ketika itu.

Mengikut sejarah Bahasa Melayu pula, perkataan jawi berasal daripada Bahasa Arab ‘Jawah’ dan kemudiannya orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, dalam catatan Sejarah Melayu yang ditulis Hashim Musa pada 1999 menyatakan, perkataan jawi diadaptasi oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Seterusnya ia dibuat beberapa tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami hari ini.

Secara umumnya, perkataan jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah ia merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain.

Baca juga 

“Di mana Sekolah Kebangsaan Sungai Anib bang? Jauh ke? Dua hari dah hati saya tak tenang”

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid

Batu Bersurat Terengganu

Sebuah batu bersurat telah dijumpai pada 1899 Masihi di Sungai Teresat, kira-kira 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu.

Pada batu yang bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi terpahat huruf Arab-Melayu yang dianggap tulisan jawi tertua di Asia Tenggara.

Inti batu bersurat berkenaan bertulis pengumuman sepuluh fasal ‘syarat undang-undang’ yang dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW.

Penemuan ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masihi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui atau boleh membaca tulisan jawi.

Kepelbagaian kegunaan tulisan jawi

Menurut sebuah buku yang ditulis oleh Amat Juhari Moain pada 1996, tulisan jawi telah digunakan oleh orang Melayu dalam berbagai-bagai jenis lapangan dan kegiatan penulisan.

Bahkan untuk kesenian juga tulisan jawi ini turut digunakan iaitu pada seni khat bagi menghiasi mihrab, dinding dalam masjid, batu nisan dan seumpamanya.

Inilah secara ringkas sejarah asal usul tulisan jawi yang dianggap tulisan hebat di kepulauan Tanah Melayu dan Nusantara.

Diharapkan perkongsian Sinar Bestari kali ini memberi manfaat kepada semua.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

INFO

Dalam Sejarah Melayu, Hashim Musa pada 1996 dicatatkan bahawa tulisan jawi telah digunakan untuk perkara berikut

  1. Prasasti atau batu bersurat. Contohnya prasasti Terengganu yang telah ditemui di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
  2. Batu hidup. Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan.
  3. Batu Nisan. Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-kerajaan Islam pada zaman silam.
  4. Mata wang, terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu yang memerintah dengan menggunakan tulisan jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah, Mansur Shah dan lain-lain.
  5. Surat kiriman antara raja. Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris atau raja-raja lain.
  6. Kitab dan buku. Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip bertulisan tangan atau cap batu.
  7. Surat-surat perjanjian antara raja dan negara di Alam Melayu.
  8. Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal perdagangan.
  9. Surat khabar dan majalah seperti surat khabar Alamat Lankapuri, Majalah Bustan Arifin, surat khabar jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
  10. Piagam dan teks pemasyhuran. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.

Sumber: https://www.academia.edu/36100702/Asal_usul_jawi

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok