“Di mana Sekolah Kebangsaan Sungai Anib bang? Jauh ke? Dua hari dah hati saya tak tenang”
“Di mana Sekolah Kebangsaan Sungai Anib bang? Jauh ke? Dua hari dah hati saya tak tenang”

“Di mana Sekolah Kebangsaan Sungai Anib bang? Jauh ke? Dua hari dah hati saya tak tenang”

Roshlawaty Md Raieh
11 Apr 2022 02:36pm
A
A
A

Pengalaman posting ke sekolah pertama pastinya akan kekal dalam ingatan semua cikgu-cikgu.

Ini kerana, yang pertama biasanya punya banyak kenangan dan kisah menarik walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.

Bagi Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih Sandakan, Sabah, Zairudin Ali, kisah indah yang berlaku pada 1989 itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Pengalaman berkhidmat di SK Sungai Anib memang penuh dengan warna warni kehidupan,” katanya.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Cikgu Zairudin berkata, sebelum dia dan rakan-rakan seangkatan ke Sabah, mereka terlebih dahulu dikumpulkan dan ditaklimatkan di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, Pahang, selama tiga hari.

“Kumpulan kami ini hampir 1,000 guru yang akan dihantar ke Sabah dan Sarawak. Banyak trip penerbangan yang ditempah oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan kami telah dimaklumkan masa penerbangan masing-masing,” ujarnya.

Sambungnya lagi, penerbangan ke Kota Kinabalu pada 6 Januari 1989 memang menyedihkan. Masing-masing meninggalkan nasihat dan amanat kepada keluarga yang menghantar mereka ke lapangan terbang.

“Setelah dua jam setengah dalam penerbangan, saya dan rakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kemudian, sebuah bas dari Maktab Perguruan Gaya menunggu kami. Dalam bas inilah kali pertama saya mendengar perkataan yang menjadi ‘trademark’ orang Sabah iatu ‘BAH’.

“Saya ingat lagi pemandu bas itu dengan ramah menjemput kami naik bas..."Naik BAH cikgu. Jangan malu-malu. Selamat datang ke Sabah". Dalam hati saya terus terdetik, orang Sabah sangat baik dan peramah,” jelasnya.

Baca juga

Antara pelajar genius Malaysia yang buat ramai kagum. Tahniah!

Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara

Keesokan harinya, Cikgu Zairudin mendapat surat penempatan. Beliau membuka sampul dan tercatat SK Sungai Anib, Sandakan. Seorang lagi rakan semaktabnya pun mendapat sekolah yang sama.

Dua orang lagi rakan semaktab ditawarkan ke SK Gas Sandakan dan yang lain ke Tawau.

“Di sinilah baru bermula keterujaan saya. Mulalah kami bertanya kepada staf di situ. Di mana SK Sungai Anib bang? Tetapi tiada yang tahu. Malah ada yang tak pernah dengar pun. Ada pula yang serkap jarang kata mungkin di pedalaman.

“Hati kami berdua mula cuak. Esoknya kami ke bandar Kota Kinabalu. Terus ke kedai alat tulis. Minta dari tauke kedai peta Sabah. Cari-cari tak jumpa pun Sungai Anib. Minta lagi peta yang lebih besar. Pun tak jumpa.

“Kami beranggapan memang sangat pedalamanlah ni sampai tak popular langsung. Dalam peta Sabah pun tiada. Akhirnya kami berdua pasrah biarpun di mana lokasi sekolah ini,” ujarnya.

Dalam kawasan bandar

Hari yang ditunggu pun tiba. Lebih kurang 50 orang dibawa dari Menggatal ke Lapangan Terbang Sandakan. Tepat masanya bertolaklah kami ke sana. Dapat juga melihat puncak Gunung Kinabalu dalam perjalanan yang mengambil masa hampir 50 minit itu.

Sementara menunggu barang keluar, Cikgu Zairudin melihat ada seorang polis lapangan terbang berdiri berhampiran pintu.

Terus beliau merapatinya dengan senyum manis tetapi berdebar. Namanya Merjuki (yang kini menjadi kawan baik Cikgu Zairudin.

“Encik, nak pergi ke Sungai Anib kena naik perahu ke?"

Polis Merjuki tidak dapat menahan ketawa. Setelah reda barulah dia terangkan.

"Cikgu, Sungai Anib tu boleh dikira berada dalam kawasan bandar. Tambang bas baru 0.30 sen. Muridnya ramai. Kalau petang, di depan sekolah tu tempat orang jogging,” katanya.

Masa itu ingin rasanya Cikgu Zairudin melompat dan memeluk polis tersebut.

Selama dua hari fikiran tak tenang. Tapi jawapannya seolah-olah melepaskan Cikgu Zairudin dari bebanan hutang. Kemudian, Merjuki menerangkan kepada mereka bagaimana cara untuk ke sekolah tersebut.

Kami ikut apa yang dikatakannya. Naik teksi ke bandar dulu. Lepas tu naik bas BDC. Bas tu melalui satu kawasan petempatan setinggan yang tersangat luas. Tidak jauh dari situ bas pun berhenti dan pemandu menunjukkan kepada kami SK Sungai Anib.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Mak Datuk! Besarnya sekolah.

Fakta masa itu:

SK Sungai Anib adalah sekolah rendah yang paling ramai murid di Sabah. Hampir 3,000 dan guru lebih daripada 109 orang.

Rupanya kawasan setinggan yang Cikgu Zairudin lihat tadi adalah kawasan murid-murid sekolah berkenaan.

Fakta sekarang:

SK Sungai Anib telah dipecahkan menjadi dua pentadbiran iaitu SK Sungai Anib 1 dan SK Sungai Anib 2. Ini memberi perjawatan baharu bagi jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan.

SK Sungai Anib 3 yang dibina beberapa tahun selepas itu tiada kena mengena dengan dua buah sekolah ini. Tempatnya pun jauh.

Maka bermulalah karier Cikgu Zairudin sebagai guru di SK Sungai Anib dan seterusnya SK Sungai Anib 2 pada ketika itu.

Setelah 14 tahun, Cikgu Zairudin terpaksa melangkah kaki meninggalkan Sungai Anib yang banyak memberikan kenangan kerana ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Penyelia Petang di SK Batu Puteh Kinabatangan.

“Dan sekarang, saya berkhidmat pula di SK Pasir Putih Sandakan, Sabah, sebagai guru besar.

“Besar harapan saya pada cikgu-cikgu muda yang baru mengajar di Sabah, agar dapat menyesuaikan diri di mana sahaja anda mengajar,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok