Fahmi mendengar taklimat mengenai PoP pada program Lawatan Kerja Projek PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utar, Perlis pada Jumaat.
Fahmi mendengar taklimat mengenai PoP pada program Lawatan Kerja Projek PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utar, Perlis pada Jumaat.

Sekolah bakal dapat kemudahan internet pantas lagi murah

26 Apr 2024 05:39pm
A
A
A

Sekolah di seluruh negara bakal menerima kemudahan internet lebih murah dan pantas tidak lama lagi.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melihat beberapa perkara bagi membantu menyediakan internet lebih murah dan pantas di sekoleh seluruh negara.

"Terdapat lebih 4,000 buah sekolah yang menjadi lokasi untuk projek PoP (Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence) dan sejumlah sekolah-sekolah ini, kita harap di luar bandar khususnya akan dapat manfaat dengan penyediaan internet yang lebih laju dan lebih murah.

"Jadi saya telah minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk berbincang dengan pasukan KPM juga melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk memaklumkan semua penyedia perkhidmatan internet yang terlibat dalam program PoP supaya bersedia untuk menyediakan internet lebih murah dan lebih laju kepada sekolah terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PoP Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar Utara, Perlis pada Jumaat.

Fahmi bergambar bersama para pelajar sekolah pada program Lawatan Kerja PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utara.
Fahmi bergambar bersama para pelajar sekolah pada program Lawatan Kerja PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utara.

Untuk rekod, sebanyak 437,000 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi menjelang akhir tahun 2025 menerusi pembinaan rangkaian Hab Gentian Optik PoP bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Artikel Berkaitan:

Pembinaan 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP di kawasan perindustrian, yang melibatkan peruntukan RM4.6 bilion, dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 677 PoP bermula 2021 hingga kini, manakala fasa kedua dilaksanakan dari 2022 hingga 2025 meliputi 3,693 PoP.

Terdahulu, Fahmi berkata, kadar penerimagunaan 5G di Malaysia telah mencecah hampir 36 peratus setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan berkenaan telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas.

Fahmi melambai tangan kepada para pelajar sekolah pada program Lawatan Kerja PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utara.
Fahmi melambai tangan kepada para pelajar sekolah pada program Lawatan Kerja PoP Zon Utara di SMK Padang Besar Utara.

Beliau berkata, ia pencapaian yang baik memandangkan penerimagunaan 5G sebelum ini agak rendah iaitu sekitar 12 hingga 15 peratus sahaja pada November 2023.

"Jadi dalam tempoh cuma lima, enam bulan kita telah berjaya meningkatkan daripada 15 peratus lebih kurang ke lebih 35 peratus...hampir 36 peratus sekarang. Jadi saya lihat ramai yang memanfaatkan (rangkaian 5G) terutama pakej-pakej 5G yang disediakan.

"Saya juga baru-baru ini telah meminta supaya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti supaya kita boleh mempertimbang adakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan rangkaian 5G untuk menyediakan pakej 5G bagi mahasiswa," katanya.

Fahmi berkata kerajaan dijangka mengumumkan rangkaian kedua 5G pada minggu hadapan yang dilihat akan membawa implikasi positif dan besar dari segi liputan serta penerimagunaan perkhidmatan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok