
Sekolah dari Melaka cemerlang di pentas CONFEST 2025
Jadi platform pelajar serlahkan bakat dan pemahaman tentang hak pengguna
Festival Pengguna 2025 (CONFEST 2025) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila beberapa buah sekolah dari Melaka berjaya mengharumkan nama masing-masing melalui pelbagai kemenangan dalam acara dipertandingkan.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai 2025 di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang, Kota Kinabalu, Sabah ini dianjurkan oleh Bahagian Gerakan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ia mengetengahkan pendekatan hibur didik (edutainment) sebagai wadah menyampaikan mesej kepenggunaan kepada masyarakat khususnya golongan muda.
Bertemakan 'Semarak Konsumerisme', CONFEST 2025 bukan sahaja menjadi platform pengukuhan dasar kerajaan Madani, malah turut menyatukan pelbagai lapisan rakyat melalui aktiviti interaktif, pertandingan dan pameran berimpak tinggi.

Antara pencapaian membanggakan melibatkan sekolah di Melaka dibuktikan menerusi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek yang meraih naib johan dalam acara Sketsa Musikal Kepenggunaan, selain pelajarnya, Sarvena Vijey Ganes diumum Pengarah Sketsa Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Sekolah yang sama turut melahirkan Muhammad Jibril Md Maarof, yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Keseluruhan, juga menerima wang tunai RM500.
SMK Durian Tunggal pula muncul sebagai naib johan dalam kategori Kelab Pengguna Sekolah, membuktikan bahawa budaya kepenggunaan bijak telah berjaya diterapkan secara aktif di peringkat sekolah menengah.
Sementara itu, Gerakan Pengguna Siswa dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perempuan Melayu Melaka diumum tempat ketiga manakala wakil dari Gerakan Pengguna Negeri dan Gerakan Pengguna Daerah (Melaka Tengah) turut cemerlang apabila meraih johan dan naib johan dalam kategori masing-masing.

Selain Melaka, beberapa sekolah dari negeri lain turut merangkul kejayaan dalam CONFEST 2025.
Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Bukit Kepong, Muar, Johor dinobatkan sebagai naib johan dalam Bicara Berirama Kepenggunaan manakala muridnya, Nik Assafeyya Nik Aziz menerima Anugerah Konduktor Terbaik Bicara Kepenggunaan atas persembahan yang penuh bersemangat dan teratur.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai Juara Battle of The Band dan Al-Wafa, Negeri Sembilan pula bergelar naib juara acara Explorasi Troli Pintar.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Negeri Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, usaha memperkasa ilmu kepenggunaan akan terus dipergiat melibatkan sekolah, universiti dan gerakan pengguna seluruh negeri.

"Matlamatnya jelas, menjadikan Melaka sebagai peneraju literasi kepenggunaan yang mampu menyerlah di pentas kebangsaan," katanya.
Majlis penutup CONFEST 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali diharap dapat membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar dan guru untuk menyampaikan mesej kepenggunaan secara kreatif, berimpak tinggi dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.



