Peserta SM Sains Sultan Mohamad Jiwa bersama ahli keluarga sebelum berlepas ke ISEF 2015 di Ohio.
Peserta SM Sains Sultan Mohamad Jiwa bersama ahli keluarga sebelum berlepas ke ISEF 2015 di Ohio.

SM Sains Sultan Mohamad Jiwa gegar pentas dunia di ISEF 2025

ROSLINDA HASHIMROSLINDA HASHIM
19 Jun 2025 08:30am

Nama negara kembali dijulang di persada antarabangsa apabila Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah mencipta sejarah membanggakan di pertandingan sains berprestij dunia.

Pasukan yang dianggotai tiga pelajar Tingkatan 5 SM Sains Sultan Mohamad Jiwa itu, merangkul tempat keempat kategori Kejuruteraan Alam Sekitar, Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025 di Ohio, Amerika Syarikat (AS).

Peserta terdiri daripada Muhammad Naufal Mu’az Mohd Shahneezam, Nabil Fadhil Nor Faizal dan Muhammad Airil Wafri Mohd Khairi memukau juri antarabangsa melalui projek inovatif yang diberi nama Mush N Pack, iaitu pembangunan pembungkusan mesra alam berasaskan sisa buangan cendawan.

Wakil waris kepada pelajar terlibat, Nor Faizal Othman berkata, pertandingan bertaraf dunia yang berlangsung pada Mei itu menghimpunkan seramai 1,657 finalis dari lebih 60 negara serta menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$9 juta dalam bentuk anugerah, hadiah dan biasiswa.

"Pasukan SM Sains Sultan Mohamad Jiwa bersama guru pembimbing, Mohd Nafis Md Soleh, merupakan salah satu daripada enam wakil Malaysia ke ISEF 2025, selain pasukan dari Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Sultan Alam Shah.

"SM Sains Sultan Mohamad Jiwa membawa pulang hadiah bernilai AS$600 dan ini merupakan penyertaan kali ketiga berturut-turut ke pentas ISEF selepas kejayaan mereka pada tahun 2022 dan 2023," katanya.

Pasukan SM Sains Sultan Mohamad Jiwa mendapat pengiktirafan dunia menerusi projek inovatif 'Mush N Pack'.
Pasukan SM Sains Sultan Mohamad Jiwa mendapat pengiktirafan dunia menerusi projek inovatif 'Mush N Pack'.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, pasukan ini berjaya menempah tempat ke ISEF selepas muncul juara dalam Pertandingan Inovasi, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Kebangsaan (PISTEK) 2024 yang berlangsung Februari lalu.

"Kejayaan ini satu pencapaian luar biasa hasil usaha gigih pelajar yang bertungkus-lumus selama berbulan-bulan untuk membangunkan idea lestari selaras dengan agenda alam sekitar global.

"Mereka telah menunjukkan semangat juang tinggi dan mampu bersaing di pentas antarabangsa. Mush N’Pack bukan sahaja inovatif, tetapi praktikal dalam usaha menangani isu pencemaran plastik,” ujarnya.

Nor Faizal berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja sebagai kejayaan pelajar, tetapi juga hadiah buat negara.

"Semua waris amat bangga dan terharu dengan pencapaian ini. Ia bukan sahaja menunjukkan kebolehan pelajar, tetapi membuktikan dengan usaha dan bimbingan yang betul, anak-anak kita mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Alumni SM Sains Sultan Mohamad Jiwa (ASSAK), Hasanin Ahmad turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 (AS$700) hasil kutipan ahli alumni sebagai sokongan moral dan logistik kepada pasukan sebelum mereka berlepas ke AS. Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis bacaan Yasin di sekolah berkenaan.

ISEF 2025 menyaksikan proses penjurian melibatkan lebih 800 juri profesional dalam 22 kategori utama termasuk penyertaan penilai khas dari 44 organisasi antarabangsa untuk anugerah khas.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp