annie-spratt-NAt6a3c3nz0-unsplash
annie-spratt-NAt6a3c3nz0-unsplash

Sekolah di UK perkenalkan kamera pengecaman muka di kantin untuk transaksi makanan

Adlan Farhan Azwan
22 Dec 2021 04:22pm
A
A
A

Sebahagian pelajar di United Kingdom (UK) kini boleh membayar makanan tengah hari mereka di kantin sekolah dengan menggunakan pengecaman muka.

Menurut Financial Times (FT), sembilan sekolah di Ayrshire Utara, Scotland, mula menerima pembayaran menggunakan maklumat biometrik yang diperoleh daripada sistem pengecaman muka.

Teknologi yang disediakan oleh CRB Cunningham ini telah memasang sistem mengimbas muka pelajar dan menyemak dengan sistem yang disimpan pada pelayan di sekolah.

Ia sekaligus menggantikan pengimbasan cap jari dan pembayaran kad yang dianggap kurang selamat sejak kewujudan pandemik Covid-19.

Teknologi ini juga direka untuk mempercepatkan proses beratur ketika makan tengah hari.

Pengarah urusan CRB, David Swanston memberitahu FT, bahawa sistem ini dapat mengurangkan purata masa transaksi bagi setiap murid kepada lima saat sahaja.

Dalam pada itu, jurucakap Majlis Ayrshire Utara berkata, pengecaman muka telah dinilai sebagai penyelesaian optimum yang akan memenuhi semua keperluan.

“Kontrak sistem katering kami akan berakhir dan kami berpeluang untuk memasang infrastruktur yang lebih canggih bagi menjadikan perkhidmatan lebih cekap dan meningkatkan pengalaman murid menggunakan teknologi inovatif ini,” tuturnya.

Terdapat perdebatan secara global yang berterusan tentang etika menggunakan teknologi pengecaman muka ini terutamanya pengecaman muka secara langsung dan sama ada ia bertentangan dengan hak kebebasan awam.

Pada awal tahun ini, penggunaan teknologi pengecaman muka di sekolah telah diharamkan di Maine. UK tidak mempunyai sebarang undang-undang sedemikian dan terpulang kepada sekolah untuk membuat keputusan tentang penggunaan teknologi biometrik.

Dalam catatan blog yang diterbitkan pada Ogos lalu, Majlis Ayrshire Utara telah mengumumkan pengenalan teknologi pengecaman muka dan meminta ibu bapa untuk melihat butiran tentang cara mendaftar.

Kira-kira 97 peratus ibu bapa dilaporkan telah memberikan kebenaran untuk anak mereka diimbas oleh system, selaras dengan garis panduan Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR).

Sementara itu, Pesuruhjaya Biometrik UK, Fraser Sampson pula memberitahu, hanya kerana sekolah mempunyai akses kepada teknologi itu tidak bermakna mereka perlu menggunakannya.

“Jika terdapat cara yang lebih berkesan tanpa merisikokan sebarang data peribadi, itu yang harus digunakan,” jelasnya.

Sumber: The Verge

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok