Usaha untuk berikan pendidikan terbaik sememangnya adalah perancangan KPM.
Usaha untuk berikan pendidikan terbaik sememangnya adalah perancangan KPM.

Sekolah khas pelajar keluarga paling miskin akan dibuka seawal tahun depan – Fadhlina Sidek

AZLEENDA SAHALUDIN
07 Aug 2023 05:30pm
A
A
A

Projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin di negara ini dijangka dibuka dan beroperasi seawal tahun depan.

Memetik portal tempatan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat berkenaan yang membabitkan mekanisme khusus untuk memastikan konsep itu benar-benar berjaya.

Ujarnya, kemudahan memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak paling miskin di negara ini sememangnya sentiasa dalam perancangan kementerian.

“Kita sedaya upaya akan memastikan menjelang tahun depan sudah dibuka. Kita akan mulakan dengan projek rintis sebelum memperluaskan selepas itu.

“Disebabkan sekolah ini adalah program khas, pasti ada hala tuju, kaedah dan mekanisme jelas untuk memastikannya benar-benar berjaya.

“Apabila disebut sebagai khusus untuk anak miskin, pendekatannya juga pasti ada sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya,” katanya ketika merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, sehingga kini terdapat 17 SDH di seluruh negara ditubuhkan bagi menyediakan pusat pembelajaran kondusif buat pelajar yang sedang menerima rawatan di hospital berunsurkan didik hibur dan fleksibel.

Fadhlina menambah, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mencari jalan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan SDH di hospital-hospital seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua kementerian ini sentiasa berbincang namun antara isunya adalah ruang di hospital untuk kita laksanakan SDH ini.

“Ini antara perkara yang dibincangkan bagi memastikannya dapat diselesaikan untuk kita laksanakan proses pembelajaran dalam hospital ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.

Katanya, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok