Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis pelancaran SENTOSA.
Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis pelancaran SENTOSA.

Sekolah terjejas banjir akan diberi bantuan kecemasan menerusi TPNS

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
13 Mar 2025 04:05pm

Hampir 30 sekolah terjejas dalam banjir baru-baru ini, yang melibatkan empat daerah akan diberikan bantuan kecemasan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan bermesyuarat pada petang Khamis untuk memuktamadkan jumlah sekolah yang terjejas dalam banjir berkenaan.

"Kita telah meminta senarai daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), saya dapat maklumat hampir 30 sekolah di Beaufort, Membakut, Tenom dan sedikit di Keningau yang terlibat.

"Hari ini kita akan bermesyuarat dan akan salurkan sebaik saja luluskan peruntukan berkenaan.

"Peruntukan berkenaan antaranya untuk menampung kerja-kerja pembersihan dan kita akan sediakan peruntukan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap sekolah yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Arifin diminta mengulas mengenai sekolah yang terjejas dalam bencana banjir yang berlaku di Beaufort, Membakut, Tenom dan Keningau.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, pihaknya mungkin akan memohon peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jika peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi menampung kerosakan di sekolah yang terlibat akibat bencana.

"Kita akan kenal pasti keperluan mereka. Mana yang boleh bantu, kita akan bantu melalui TPNS, mana yang memerlukan peruntukan besar, akan dikemukakan kepada KPM melalui menterinya," ujar Exco Pendidikan Negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut berkata, banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk sejak 10 tahun lalu.

"Kalau di kawasan saya, sebahagiannya sama seperti tahun 2015 iaitu 10 tahun lalu, tapi ada juga yang kurang teruk.

"Alhamdulillah kita sudah kenal pasti mereka yang terjejas dan saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana datang melawat ke kawasan saya di Membakut dan menyampaikan bantuan.

"Kita juga meyampaikan sumbangan kepada mereka yang terjejas tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara dan sudah mula agihkan bakul-bakul makanan kepada mereka.

"Dalam masa sama, kita akan kenal pasti juga mana kawasan atau rumah yang benar-benar terjejas dimasuki atau digenangi air," tuturnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp