Semua pihak diminta menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Semua pihak diminta menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Sekolah vernakular tarikan perpaduan negara, bukan pemisah etnik - Aaron

12 Mar 2024 09:55am
A
A
A

Sekolah vernakular bukan satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, data enrolmen pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2018 hingga 2023, yang membuktikan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan semua pihak.

"Kementerian telah melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang pada tahun lepas. Hasil dapatan menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik, sebaliknya ia perlu turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan," maklumnya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya mengurus kerukunan sosial bergantung kepada empat perkara iaitu penyesuaian (adaptability), matlamat, integrasi, dan terpendam (latency).

"Justeru sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial di sekolah mereka," katanya.

AARON
AARON

Aaron turut meminta semua pihak untuk menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini kerana ia akan menggugat semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada November 2023 Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

"Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

"Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996," katanya.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Aaron berkata sehingga kini, kementerian itu dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

"Tahun ini Kementerian menerusi agensinya akan melipatgandakan usaha meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya ia menjadi amalan hidup seharian," katanya.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan tahun ini adalah Eksplorasi Rukun Negara; Program Raja Kita; Raja Kita, Payung Kita; Pameran Arkib Diraja: Simbol Perpaduan Negara dan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok