Belum lagi ada rancangan penilaian mengenai sekolah vernakular - Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai perancangan untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular setakat ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, sebarang tindakan atau keputusan mengenai ekosistem pendidikan sedia ada mesti berdasarkan ketetapan yang terkandung di dalam Akta Pendidikan 1996.
"Kita mendengar pandangan berkenaan (mengenai sekolah vernakular) tetapi untuk hari ini, pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak dan memperkukuhkan Akta Pendidikan.
"Sebagaimana yang saya tegaskan sebelum ini sekolah vernakular ini adalah diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan Akta Pendidikan," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh baru-baru ini yang meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). - Bernama