Semakan keputusan UPUOnline mulai 7 hingga 16 Julai ini, mohon calon SPM siap sedia
Debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi mengetahui keputusan ke menara gading akan berakhir apabila keputusan itu bakal diumumkan tidak lama lagi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2023/2024 bagi lepasan SPM akan diumumkan 7 Julai ini.
Keputusan tersebut boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari pada 7 Julai hingga 5 petang 16 Julai melalui dua platform iaitu secara dalam talian dan melalui aplikasi UPUPocket di telefon pintar masing-masing.
Menurut kenyataan itu lagi, platform secara dalam talian menyediakan lima pautan untuk memudahkan calon SPM membuat semakan.
Pautan-pautan tersebut terdiri daripada;
1) https://jpt.utm.my
2) https://jpt.uum.edu.my
3) https://jpt.unimas.my
4) https://jpt.ums.edu.my
5) http://jpt.umt.edu.my
Sementara itu, bagi calon yang ingin membuat pengesahan setuju terima atau tolak tawaran, anda boleh berbuat demikian pada 8 hingga 16 Julai ini di laman sesawang institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan ILKA.
Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di laman sesawang https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari 7 Julai hingga 5 petang 16 Julai.
Manakala rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA pula boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah MUKTAMAD dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.
Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.
Sebarang pertanyaaan berkenaan UPUOnline, boleh diajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) secara terus melalui empat cara iaitu;
1) Menghubungi talian 03-86842363
2) Emel: upu@mohe.gov.my
3) Sistem Maklum Balas: https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/
4) UPUChat: http://upu-chat.ml/UPUChat/