No Image Caption

Semua pentadbir universiti diarah terima dahulu kemasukan pelajar miskin, bantuan akan diberikan - Zambry

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Sep 2024 09:45am
A
A
A

“Saya arahkan semua pentadbir universiti untuk menerima masuk pelajar-pelajar miskin dan daif yang tidak berkemampuan. Jangan jadikan masalah wang sebagai alasan untuk menolak tawaran kemasukan.”

Itu antara titip pesanan yang dilontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi satu hantaran video yang dimuat naik bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman X.

Menurut video tersebut, Asyraf menyatakan bahawa beliau banyak menerima mesej dan email di media sosial yang menyatakan isu tidak cukup wang untuk masuk ke universiti lebih-lebih lagi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Justeru, bagi membantu dan menyelesaikan perkara ini satu kata putus telah dibuat bersama Menteri Pengajian Tinggi bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan dan berjaya mendapat tempat di universiti agar dapat mendaftar masuk.

“Saya banyak terima mesej dan email yang menyatakan masalah tidak cukup wang untuk ke universiti.

“Saya bersama orang yang tepat Menteri Pengajian Tinggi untuk menjelaskan perihal yang sebenar kepada anak-anak di luar sana yang berjaya mendapat tawaran universiti,” katanya.

Dalam video tersebut, Zambry telah menyatakan bahawa satu arahan telah dikeluarkan kepada pihak universiti agar menerima dahulu kemasukan pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan.

Katanya, bantuan kewangan seterusnya akan diberikan kepada mereka salah satunya adalah pemberian wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Terima kasih kepada Aysraf kerana memperjuangkan isu sebegini dan saya telahpun mengarahkan bahawa saya tidak mahu mendengar kisah mereka yang berjaya masuk namun terpaksa tolak kerana masalah kewangan.

“Saya juga daripada latar belakang sebegitu maka saya tahu kesusahan yang dihadapi.

“Jadi saya telah mengarahkan kepada pihak universiti untuk menerima dahulu kemasukan pelajar-pelajar tidak berkemampuan dan bantuan seterusnya akan diberikan,” ujarnya.

Tegas Zambry, beliau tidak mahu masalah kewangan yang dihadapi sesetengah pelajar menjadi alasan untuk tidak mendaftar masuk setelah berjaya mendapat tempat di universiti.

Dalam pada itu, Asyraf turut menambah dan menyokong kenyataan yang diucap oleh menteri pengajian tinggi selain turut menegaskan bahawa ilmu amat penting yang mampu mengubah kehidupan seseorang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok